Lelaki Berpoligami Tingkat Risiko Kanser Pangkal Rahim

Bukan hanya seks rambang atau seks sebelum berkahwin, tetapi lelaki yang mengamalkan poligami atau pernah bercerai dan berkahwin semula, boleh menjadi faktor berlakunya kanser pangkal rahim.

 

Dr. Ahmad Zailani Hatta Mohd Dali, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Kanser Ginekologi), Hospital Pantai Kuala Lumpur berkata, masyarakat negara ini perlu lebih memahami bagaimana mendapat jangkitan Human Papillomavirus (HPV) yang merupakan penyebab kanser berkenaan, berlaku.

 

Kanser pangkal rahim sering dikaitkan dengan tabiat seksual rambang, namun ia tidak semestinya benar.

 

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan masyarakat yang sering menuding jari kepada kaum Hawa apabila mereka menghidap kanser pangkal rahim. Kadang-kala kita terlupa orang lelaki juga boleh menjadi pembawa virus HPV.

 

“Secara dasarnya, virus tersebut adalah sejenis bendasing yang boleh menjangkiti tidak kira lelaki atau perempuan. Sekiranya salah seorang isteri menghidap penyakit kanser pangkal rahim, kebarangkalian isteri yang lain untuk menghidapnya juga agak tinggi kerana si suami bertindak sebagai pembawa virus tersebut.

 

“Jangan hanya menuduh seseorang itu mengamalkan hubungan seks rambang apabila menghidap kanser tersebut. Tuduhan itu hanya menunjukkan betapa kurangnya pengetahuan kita tentang kanser pangkal rahim,” tambah Dr. Hatta.

 

Dalam masa yang sama beliau mengingatkan mereka yang mengamalkan monogami tetap mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan HPV.

 

“Sifat virus tersebut sebenarnya boleh didapati di sekeliling kita termasuklah pada tangan, pakaian dan permukaan benda di sekeliling kita.

 

“Apabila virus tersebut terdedah pada pangkal rahim seorang wanita, ia boleh berkembang menjadi kanser pada masa hadapan. Kita perlu faham, kanser pangkal rahim ini adalah sejenis penyakit yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk bermutasi,” jelasnya lagi.

 

Penggunaan kondom semasa hubungan seks juga bukan bermakna seseorang itu akan selamat daripada jangkitan HPV, memandangkan ia tersebar menerusi sentuhan.

 

Namun, kaedah terbaik untuk mengelakkan jangkitan Human Papillomavirus (HPV) adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menjauhi tabiat-tabiat berbahaya.