Muhyiddin & Anwar Mula Menghadap YDP Agong

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara jam 8.56 pagi, di sini, hari ini. Pertemuan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dengan Al-Sultan Abdullah berlangsung selama lebih sejam.

 

Terdahulu, Muhyiddin menjadi ketua parti pertama menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas tiba di Istana Negara pada pukul 7.50 pagi.

 

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima perkenan menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

 

Menurut sumber kepada Astro AWANI, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim difahamkan akan tiba di Istana Negara pada bila-bila masa sahaja lagi selepas dijadual hadir sekitar jam 10 pagi ini.

 

Ia sekali gus menyaksikan Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi wakil ketua pemimpin politik kedua yang menghadap Al-Sultan Abdullah selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Tujuh pemimpin parti politik utama di negara ini termasuk pembangkang, dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, minggu ini bermula hari ini.

 

Menurut sumber, ketika majlis menghadap itu, setiap parti hanya akan diwakili pemimpin tertinggi masing-masing, sama ada presiden atau pengerusi.

 

Empat pemimpin dijadualkan menghadap Seri Paduka, hari ini, manakala dua lagi esok dan seorang pada Jumaat.

 

Difahamkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah pemimpin pertama dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, pagi ini.

 

Adalah menjadi kelaziman, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada setiap Rabu untuk menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara.

 

Sumber itu bagaimanapun tidak pasti mengenai agenda majlis menghadap berkenaan, namun ia dipercayai ada kaitan dengan keadaan semasa negara, terutama isu penularan COVID-19 yang membimbangkan.

 

Satu perbincangan khas Raja-Raja Melayu akan diadakan di Istana Negara pada 16 Jun ini.

 

Sementara itu, BERNAMA melaporkan parti yang masih dalam proses pendaftaran, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), mengesahkan menerima surat dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

 

Ketua Penerangan Pro-tem PEJUANG, Ulya Aqamah Husamudin, berkata Pengerusi Pro-tem, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijadualkan menghadap Seri Paduka pada Khamis ini.

 

“Surat rasmi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong telah diterima, minggu lalu lagi. Bagaimanapun waktu (untuk Dr Mahathir menghadap) belum ditentukan lagi, setakat ini,” katanya, semalam.

 

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, ketika diajukan soalan sama, masing-masing menyatakan tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu, setakat ini.

 

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, pula memaklumkan parti masing-masing belum menerima sebarang jemputan rasmi daripada Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengaku mendengar desas-desus mengenai majlis menghadap itu, namun tidak dapat memastikan sama ada partinya telah menerima surat jemputan berkenaan.

 

“Dengar khabar begitulah (dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong). Saya tidak ke pejabat… tidak pasti sama ada (UMNO) sudah dapat surat atau belum,” katanya.

 

Berlainan pula dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang meminta Bernama merujuk perkara itu kepada Ahli Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

 

“Rujuk Khairuddin… dia mungkin tahu lebih berbanding maklumat yang kami ada,” kata Saifuddin Nasution.

 

Semalam, media melaporkan Khairuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Pro-tem PEJUANG Wilayah Persekutuan sebagai berkata, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap semua pimpinan parti politik, termasuk pembangkang.

 

Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat yang dianggotai pemimpin pembangkang ditubuhkan bagi mengumpul petisyen supaya darurat COVID-19 ditamatkan segera.

 

Pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.

 

Seri Paduka turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat itu hingga 1 Ogos depan atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri pada 9 Februari lalu, mengumumkan pelantikan 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

 

Jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.