Krisis Antara MB Terengganu Dengan Istana?

Ekoran satu artikel yang mendakwa kedudukan Menteri Besar Terengganu kini tersepit antara masalahnya dengan pihak istana, Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid membuat laporan polis terhadap portal berita tersebut.

 

Portal politik yang dikatakan telah menyiarkan artikel fitnah membabitkan MB, pentadbiran kerajaan negeri dan pihak istana. Portal itu juga menulis terdapat pakatan pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih tempat beliau.

 

Portal berita The Malaysian Insight melaporkan Samsuri mempunyai masalah dengan Istana Terengganu. Sumber memberitahu The Malaysian Insight, isu melibatkan Ahmad Samsuri Mokhtar kini genting sehingga istana hampir menarik balik gelaran Datuk Seri disandang menteri besar itu.

 

Satu borang “SURAT AKUAN BERKANUN” sudah disediakan untuk membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai menteri besar.

 

Ia didakwa disediakan untuk Adun kedua-dua parti samada dari Pas yang mempunyai 22 Adun ataupun Umno yang mempunyai 10. Namun Umno Terengganu melalui Ketua Penerangannya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku menafikan mereka terlibat dalam apa-apa pergolakan melibatkan MB.

 

Menurut Muhyiddin khabar angin dan kenyataan portal tersebut adalah satu fitnah, tidak benar dan berniat jahat terhadap kredibiliti Ahmad Samsuri dan wakil-wakil rakyat kerajaan.

 

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu berkata, pentadbiran kerajaan negeri tidak mengalami apa-apa masalah sebagaimana yang didakwa, malah semua pihak bekerja secara harmoni dan sedang melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa demi kepentingan rakyat.

 

“Saya percaya bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan mencari sokongan politik murahan dalam keadaan kerajaan sedang dan rakyat sedang menghadapi krisis Covid-19.

 

“Perbuatan fitnah ini hanya mahu menimbulkan prasangka buruk, keresahan masyarakat dan kebencian memuncak rakyat terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik,” katanya.

 

Muhyiddin berkata, beliau menggesa pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap portal tersebut kerana menabur fitnah. Laporan polis dibuat bagi mewakili Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.