Menghadap Agong, Raja Melayu Menunjukkan Kuasa Sebagai Ketua Negara Sebenar?

Yang di-Pertuan Agong telah bertindak sepenuhnya dalam batas kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan apabila memanggil pemimpin-pemimpin parti politik termasuk Perdana Menteri, menghadap baginda di Istana Negara bermula pada 9 Jun.

 

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang juga seorang peguam, usaha peribadi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada wakil kerajaan dan pembangkang membuktikan Agong memiliki darjah kekuasaan sebagai monarki berperlembagaan yang tidak memerlukan nasihat daripada perdana menteri.

 

Hassan menambah, tindakan tersebut telah menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu boleh campur tangan dan melaksanakan tugas mereka sebagai ketua negara apabila politik gagal.

 

“Kuasa politik di Malaysia tidak terletak sepenuhnya dalam tangan ahli politik atau parlimen. Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa di bawah perlembagaan persekutuan kerana Malaysia mengamalkan kedua-dua demokrasi berparlimen dan juga pemerintahan sistem monarki berperlembagan.”

 

Beliau merujuk kepada sekumpulan pemimpin politik kerajaan dan pembangkang yang dipanggil ke Istana Negara untuk bertemu dengan Sultan Abdullah ekoran kegusaran rakyat terhadap cara kerajaan menangani krisis C.o.v.i.d 19.

 

Dalam kenyataannya, Hassan menyatakan bahawa Agong tidak bertindak sedemikian kerana adanya krisis perlembagaan, tetapi bertindak untuk menyelamatkan negara daripada berhadapan krisis kesihatan awam yang lebih dahsyat.

 

Hassan turut menegaskan bahawa Agong “tidak mendapatkan sebarang nasihat terdahulu daripada perdana menteri atau Kabinet” apabila baginda memanggil kesemua pemimpin politik dari pelbagai parti politik utama negara.

 

“Ini adalah isyarat jelas bahawa pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai (Tan Sri) Muhyiddin Yassin akan menuju kepada pengakhiran.” jelas Hassan.

 

Agong dan Raja-Raja Melayu tidak akan masuk campur sekiranya pakatan pemerintah adalah kerajaan yang mempunyai mandat atau sokongan yang kuat di dalam parlimen.

 

Menurutnya, tidak semestinya pada setiap masa, Agong perlu bertindak berdasarkan nasihat terdahulu daripada perdana menteri atau Kabinet di bawah Klausa (1) Artikel 40 dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

“Malah, di bawah Klausa (2) (c) Artikel 40 Perlembagaan, ia jelas menyatakan bahawa terdapat peruntukan di mana Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara baginda.

 

“Peruntukan tersebut sangat bererti kepada rakyat dan kedaulatan Malaysia disamping memastikan negara tidak mudah jatuh ke tangan pemimpin yang salah atau yang akhirnya bertukar kepada pemerintahan diktator.”

 

Tambahnya lagi, secara peribadi dia bukanlah penyokong tegar feudalisme tetapi menentang keras institusi anti-demokrasi dan diktator.

 

Agong akan meneruskan sesi bertemu pemimpin parti politik di Istana Negara sehingga 11 Jun.

 

Baginda juga akan mengadakan mesyuarat khas dengan Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Jun bagi membincangkan usaha mengekang penularan wabak C.o.v.I.d-19 dan polisi kerajaan yang telah dilaksanakan sepanjang Darurat yang sedang berjalan.