Punca Pemain Denmark Rebah Semasa Perlawanan, Boleh Berlaku Pada Anda!

Ia boleh berlaku pada anda, walaupun anda sangka anda sihat! Doktor skuad Denmark, Morten Boesen mengakui pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca yang menyebabkan pemain Denmark, Christian Eriksen rebah secara tiba-tiba ketika berdepan berdepan Finland pada saingan pembukaan Kumpulan B Euro 2020 di Stadium Parken, Copenhagen, pada Sabtu.

 

Menurut Boesen, Eriksen disyaki mengalami serangan jantung sehingga menyebabkannya rebah secara tiba-tiba pada perlawanan berkenaan.

 

Bagaimanapun menurut doktor skuad Danish Dynamite itu, ujian mendapati pemain berkenaan berada dalam keadaan normal ketika kejadian.

 

 

“Sebenarnya dia telah ‘tiada’ buat seketika. Kami telah lakukan resusitasi (kaedah rawatan) terhadapnya dan mendapati ia adalah akibat serangan jantung.

 

“Dia kemudiannya mulai sedar setelah kami melakukan kaedah defibrilasi (kaedah rawatan) terhadapnya. Bagaimanapun sehingga kini kami belum dapat mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkannya rebah secara tiba-tiba dan ia menimbulkan tanda tanya,” katanya.

 

Pada Sabtu, Eriksen menggemparkan peminat bola sepak khususnya yang mengikuti perlawanan berkenaan apabila rebah secara tiba-tiba pada minit ke-42 pada Sabtu ketika berlari ke sebelah kiri padang setelah lontaran ke dalam buat pasukan Denmark.

 

Eriksen kemudiannya diberikan rawatan kecemasan di padang dengan dikelilingi oleh rakan-rakan sepasukan sebelum di bawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

 

Berikutan insiden berkenaan perlawanan antara Denmark dan Finland tertangguh seketika sebelum kembali bersambung bagi tempoh sejam dan 45 minit sebelum dimenangi Finland, 1-0 hasil jaringan Joel Pohjanpalo pada minit ke-60.

 

Sementara itu Boesen berkata, pihaknya masih mengkaji mengenai punca sebenar yang menyebabkan Eriksen rebah secara tiba-tiba. Malah katanya, Eriksen kini berada di hospital bagi mengikuti rawatan lanjut.

 

“Berdasarkan kepada ujian yang kami lakukan setakat ini, ia telah memberikan hasil yang baik, namun kami masih tidak ada sebarang penjelasan bagaimana kejadian itu berlaku,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Inter Milan, Giuseppe Marotta menafikan Covid-19 menjadi punca Christian Eriksen rebah atas padang secara tiba-tiba ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan Denmark dalam perlawanan Euro 2020 di Stadium Parken, Copenhagen pada awal pagi Ahad.

 

Kebanyakan atlet muda yang meninggal dunia akibat jantung berhenti berdegup secara tiba-tiba mempunyai genetik kardiomiopati hipertrofi (HCM), iaitu penyakit dinding berotot pada jantung atau miokardium menjadi tebal. Penebalan dinding jantung akan menyebabkan gangguan keupayaan pengisian semula dan pengepaman jantung.

 

Otot jantung yang menebal akan membuatkan jantung sukar mengepam darah. Justeru jantung akan bekerja lebih kuat. Individu yang mempunyai masalah jantung seperti ini dilarang bersukan. Sekiranya tidak, mereka mungkin akan mati secara spontan akibat jantung berhenti secara tiba-tiba.

 

Individu yang menghidap HCM dan melakukan aktiviti sukan boleh menyebabkan tubuh mereka menjadi nyahidrat, kehilangan banyak garam dan mengalami ketakimbangan elektrolit.

 

Mereka juga mempunyai tahap adrenalin yang lebih tinggi ekoran daripada tindak balas badan untuk bersenam, serta ketidakseimbangan asid atau asidotik (peningkatan keasidan dalam darah dan tisu badan yang lain).

 

Jantung boleh menjadi asidotik (keadaan asid darah yang kurang dari pH 7.35) iaitu seperti ketika mengalami kekejangan di kaki selepas bersenam dan jantung tidak boleh berhenti dalam keadaan normal. Bagi individu yang mengalami keadaan jantung tidak normal, kematian boleh berlaku sekiranya terdapat ketidakseimbangan berasaskan asid walaupun hanya sedikit.

 

Pemeriksaan kesihatan secara berkala sama ada bagi atlet, golongan yang aktif bersukan mahupun baharu berjinak-jinak dalam aktiviti fizikal dapat mengelak sebarang risiko kesihatan yang tidak dijangka ketika bersukan.