SPRM Buat Pendakwaan Kepada Pegawainya Yang Terima Rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berkompromi terhadap kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa perlanggaran undang-undang oleh pegawainya.

 

Perkara itu jelas apabila SPRM diberi izin oleh Pejabat Peguam Negara bagi melakukan pertuduhan seorang pegawai suruhanjaya berkenaan bersama seorang lagi tertuduh atas kesalahan rasuah di Mahkamah Seksyen 1 Shah Alam, di sini hari ini.

 

Dua lelaki termasuk seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah berjumlah RM100,000 pada 14 April lalu.

 

Tertuduh, Shahrul Izuan Mohd. Zain, 41, dan Teoh Peng Sin, 55, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

 

 

Berdasarkan pertuduhan, Shahrul Izuan yang bertugas di SPRM Putrajaya didakwa telah bersubahat dengan Peng Sin menerima rasuah wang tunai RM100,000 daripada Tan Chee Sheng sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan di bawah kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) SPRM terhadap Chee Sheng.

 

Peng Sin yang bekerja sendiri di Johor Bahru pula didakwa menerima rasuah wang tunai RM100,000 daripada Chee Sheng sebagai dorongan atas perbuatan yang sama.

 

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di sebuah kedai kopi dalam sebuah pusat beli-belah di Sepang pada 14 April lalu.

 

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

 

Shahrul Izuan pula didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(c) dan turut dibaca dengan seksyen yang sama.

 

Menurut kenyataan itu lagi, pegawai terbabit juga sebelum ini pernah ditahan oleh pihak polis berkaitan kes siasatan di bawah Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012. Bagaimanapun, pertuduhan tersebut tiada kaitan dengan kes berkenaan.

 

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.

 

Kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan pilihan yang masing-masing dibacakan ke atas mereka.

 

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh selain melapor diri pada setiap minggu pertama di pejabat SPRM terdekat serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah.

 

Peguam bela, Datuk Hanif Hassan yang mewakili kedua-dua tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan dan memohon agar pasport antarabangsa milik Peng Sin diserahkan kepada mahkamah pada tarikh akan datang memandangkan tertuduh tidak membawanya bersama.

 

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh dan mengarahkan Shahrul Izuan melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor dan Peng Sin di Johor Bahru.

 

Pasport antarabangsa kedua-dua tertuduh juga diarah untuk diserahkan kepada mahkamah. Bagi pasport Peng Sin, ia perlu diserahkan pada atau sebelum 29 Jun ini. Kedua-dua kes disebut semula pada 28 Julai ini.