Matahari Terbit Dari Utara Di Sulawesi, Guru Dakwa Petanda Kiamat

Masyarakat Islam di negara ini tidak perlu gusar dengan fenomena matahari terbit dari arah utara kerana ia bukan perkara yang aneh, sebalik berlaku setiap tahun.

 

Menurut kenyataan Balai Cerap Selangor, Jabatan Mufti Selangor, kedudukan matahari terbit dan terbenam  sebenarnya sekiranya diperhatikan di langit, memang akan sentiasa berubah.

 

“Perubahan kedudukan itu berlaku disebabkan oleh kecondongan paksi bumi sebanyak 23.5 darjah ketika bumi mengorbit (mengelilingi) matahari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

 

Balai berkenaan menambah, lokasi matahari bukan tetap pada satu tempat yang sama sahaja sepanjang tahun dan tidak semestinya ia terbit tepat dari arah timur selepas waktu subuh.

 

Kenyataan itu sebagai mengulas tular perkongsian para pengguna media sosial tempatan kecoh memperkatakan fenomena berkenaan konon tanda dunia sudah hampir akhir zaman.

 

Warganet juga berkongsi gambar kedudukan matahari yang berada di utara ketika terbit dan mendakwa ia tidak lama lagi terbit dari arah barat yang menandakan kiamat semakin hampir.

 

Ia berikutan satu rakaman video yang memperlihatkan matahari terbit dari utara yang berlaku di Jeneponto, Sulawesi Selatan, Indonesia semalam viral di media sosial.

 

Kompas.com melaporkan, seorang guru di Madrasah Aliyah Negeri (MAN) Binamu Jeneponto, Sulawesi Selatan yang menyaksikan kejadian merakamnya menggunakan telefon bimbit dan memuat naiknya di media sosial.

 

 

“Melaporkan dari MAN Binamu. Sesuatu yang sangat aneh sudah berlaku. Matahari berada di sebelah utara pagi ini, Khamis 17 Jun. Sekarang jam 8 pagi, tetapi matahari sudah berada di sebelah utara,” katanya dalam video berkenaan.

 

“Kami bersama rakan-rakan di Jeneponto menyaksikan sendiri kejadian aneh ini. Belum pernah dilihat sebelum ini, kebiasaannya matahari pagi terbit dari timur, tetapi ketika ini (8 pagi) sudah berada di utara, tidak pernah terjadi peristiwa ini,” katanya.

 

Selain itu, suara dalam rakaman video berkenaan turut mengaitkan kejadian itu ada kaitan dengan tanda-tanda hari kiamat. Turut menyaksikan kejadian itu, beberapa rakan guru berkenaan.

 

Mengulas lanjut, Balai Cerap Selangor turut memuat naik gabungan foto matahari terbit dari lokasi berbeza kaki langit dirakamkan di Dabouq dekat Istana Raja Jordan di ibu kota Amman.

 

“Ketika Solstis Disember, matahari di kedudukan paling jauh ke selatan dari Khatulistiwa iaitu di atas Garisan Jadi yang menandakan mula musim sejuk di sebelah hemisfera utara,” katanya.

 

Keadaan itu juga memberi maksud musim panas pula bermula di hemisfera selatan mengikut takrifan bidang astronomi moden namun keadaan akan berubah ketika masuk Solstis Jun.

 

Matahari berada kedudukan paling jauh ke utara dari Khatulistiwa iaitu di atas Garisan Sartan, menandakan bermula musim panas di Hemisfera Utara dan musim sejuk di Hemisfera Selatan.

 

Bagaimanapun, kedudukan matahari ketika Ekuinoks Mac dan September pula berada tepat di atas Garisan Khatulistiwa yang menyaksikan tempoh waktu siang dan malam tepat 12 jam.

 

“Semasa Ekuinoks Mac, ia menandakan bermulanya musim bunga di bahagian Hemisfera Utara dan sebaliknya, penduduk di sebelah hemisfera selatan pula merasai musim luruh,” katanya.

 

Situasi kemudian akan berubah ketika Ekuinoks September yang menandakan bermulanya musim luruh di Hemisfera Utara tetapi sebaliknya musim bunga pula bermula di Hemisfera Selatan.