Tak Faham Bahasa, Takiyuddin Terima ‘Hadiah’ Daripada Adun PKR

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, menghadiahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan sebuah Kamus Dewan.

 

Arafat berkata, kamus itu dihadiahkan kepada Takiyuddin supaya beliau memahami dengan lebih jelas maksud “segera dan secepat mungkin” seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

 

Rabu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan segera dan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara kerana menyedari peranan pentingnya bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19.

 

Dalam video dikongsikan di Facebook Pusat Khidmat Raya ADUN Hulu Kinta, Arafat berkata kenyataan dikeluarkan Takiyuddin selepas titah pandangan Agong itu adalah tindakan yang biadab dan angkuh.

 

 

Ketua Penerangan PKR Perak itu berkata, Takiyuddin dengan sengaja mentafsir maksud “segera dan secepat mungkin” mengikut tafsiran dan kepentingan politik sendiri.

 

“Oleh kerana itu saya nak menghadiahkan kamus untuk Menteri Undang-undang, saudara Takiyuddin sekiranya tak faham bahasa tak faham maksud segera dan maksud secepat mungkin.

 

“Oleh kerana tak boleh rentas negeri saya akan hantar melalui kurier terus (kamus) ke pejabat beliau,” katanya.

 

Arafat berkata, insiden membabitkan keangkuhan pemimpin parti Islam itu bukan perkara baru kerana pada Disember tahun lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut murka terhadap pimpinan PAS negeri kerana ingkar perintah untuk menghadap.

 

“Inilah perangai sebenar pemimpin parti kononnya parti Islam. Saya ada satu soalan dengan Takiyuddin, kita doakan supaya Takyuddin sihat walafiat.

 

“Andai kata Takiyuddin terkena Covid-19 adakah beliau akan ikut saranan KKM untuk hadir segera ke hospital mendapatkan rawatan atau ikut tafsiran beliau, tafsiran hadir (selepas) sebulan, dua bulan atau tiga bulan selepas terkena Covid-19,” katanya.

 

Sebelum ini, media melaporkan Takiyuddin membayangkan masa “sudah hampir” untuk Parlimen bersidang selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah ia harus diadakan secepat mungkin.

 

Takiyuddin berkata, Agong tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan namun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan bahawa sidang Dewan Rakyat itu boleh diadakan paling awal September ini.

 

“Agong tidak menitahkan perlu diadakan pada bulan berapa dan sekian. (Baginda) menyatakan secepat mungkin. Perdana Menteri pun ada menyatakan Parlimen akan dibuka dalam bulan September atau Oktober. Sekarang ini pun kita sudah hampir penghujung Jun. Sudah hampir dan kita pasti akan adakan Parlimen,” katanya.