Kibar Bendera Putih; Nik Abduh Dikecam Warganet

Satu kempen ‘Kibarkan Bendera Putih’  viral di laman sosial sejak semalam apabila seorang wanita bernama Jah menulis di akaun Facebooknya yang mengajak sesiapa yang keputusan bekalan makanan agar menaikkan bendera putih di hadapan rumah.

 

Tulis wanita tersebut, “Saya nasihatkan kpd semua yg susah ,tiada makanan, naikkan bendera putih di rumah anda…biar org sekeliling pakat gi bantu ,beri sedikit sebanyak yg termampu. Jangan ambil tindakan yg merugikan diri-sendiri dan keluarga. Elakkan stress, berkongsi lah masaalah dgn org ramai. Tidak perlu merayu. Tidak perlu rasa malu. Hanya kibar kan kain putih. Semoga ada yg datang membantu.”

 

 

Hantaran FB beliau yang menjadi viral turut dikongsi dan diulas selebriti, artis dan juga ahli poitik. Antaranya ialah Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengatakan bahawa rakyat tidak wajar diajar mengangkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengangkat bendera putih sebaliknya mereka perlu mengangkat tangan untuk berdoa kepada tuhan.

 

“Angkat tangan berdoa kepadanya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

 

 

Beliau dipercayai merujuk kempen kibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan yang digerakan oleh orang ramai yang simpati terhadap nasib masyarakat terkesan pandemik Covid-19 dan sekatan penuh pergerakan (total lockdown).

 

Namun, ulasan Nik Abduh pula menjadi tular dan dikecam hebat oleh warganet.  “Takkan nak angkat bendera Pas pula.” Demikian antara kecaman netizen terhadap kenyataan beliau.

 

“Bendera putih tu tanda mintak bantuan, bukan tanda kalah,” kata pemilik Facebook Amie Mustapha.

 

Selain itu, seorang lagi pengguna Twitter, @fahmibinhassan berkata, kempen itu tidak bermaksud angkat bendera mereka tidak berdoa.

 

“Angkat bendera putih tu minta tolong jiran-jiran. Usaha untuk bantu. Bukan maksud angkat bendera putih mereka tak angkat tangan untuk berdoa. Takkan lah benda macam ni pun @nikabduh nak mantikkan,” ciap beliau.

 

Malah seorang lagi pengguna Twitter @nmyasser menjelaskan kempen bendera putih itu adalah satu usaha dan tawakal.

 

“Memang Allah tempat kita memohon. Tiada lagi yang diatasnya, tetapi bendera yang diviralkan ini adalah usaha dan tawakkal. Tahukah YB ada jiran-jiran yang sedang tenat kalau tidak diuar-uarkan. Allah jadikan jiran-jiran dan YB-YB sebagai pengantara/khalifah untuk membantu,” katanya.