UMNO Perlu Hadkan Kuasa Zahid Pilih Calon PRU

UMNO perlu melaksanakan satu kaedah baharu dalam memilih calon pilihan raya umum (PRU) yang berwibawa dan diterima pengundi iaitu dengan tidak memberi kuasa 100 peratus kepada presiden parti untuk menentukan calon yang bertanding.

 

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, keputusan presiden parti perlu dibuat berdasarkan cadangan peringkat jawatankuasa bahagian dan cawangan yang mengemukakan calon untuk bertanding di kawasan masing-masing.

 

Jelasnya, pihak berkenaan lebih mengenali individu yang layak dilantik menjadi calon mengikut pilihan akar umbi dan rakyat di kawasan itu.

 

 

“Kepimpinan parti peringkat bahagian tidak perlu terlampau gusar tentang isu watikah pencalon (cadangan calon ditolak) hanya kerana bukan pilihan Ahmad Zahid.

 

“Isu watikah perlu ada mekanisme, buat satu bentuk baharu. Kadang-kadang kita nampak ada ketua bahagian hebat melawan arus dengan Presiden tetapi di kawasan dia tidak ada masalah. Ini isu yang terjadi, bila letak orang lain (bertanding), mungkin kalah di kawasan itu.

 

“Jadi kena ubah cara supaya pencalonan dibuat oleh bahagian, kemudian barulah presiden boleh keluarkan watikah. Bukan saya hendak kata presiden tidak kenal siapa, tetapi ini yang menyebabkan ada calon payung terjun yang tidak diketahui dari mana datangnya,” katanya ketika dihubungi pemberita.

 

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, ada dua perbezaan perlu dilihat dalam isu pencalonan iaitu antara kehendak parti atau presiden.

 

Tegasnya, sudah sampai masa UMNO mengehadkan kuasa presiden kerana tidak semestinya pemilihan calon yang dibuat betul dan mengikut kehendak parti.

 

“Saya nampak bila dekat PRU, ramai balik kampung, katanya nama sudah mendapat restu untuk menjadi calon dari presiden, jadi ini perlu kita atasi.

 

“Tak boleh kata Presiden tak mahu dan nak lantik orang lain, itu tidak betul kerana tidak ikut akar umbi. Ini sepatutnya dibuat daripada dulu. Kadang-kadang calon tak popular di kawasan tapi kerana dia rapat dengan Presiden, Presiden ambil, itu tak betul juga,” katanya.