Di Tengah Kehangatan Bendera Putih, PDRM Siasat Kempen Bendera Hitam

Ketika kempen bendera putih masih hangat di laman-laman media sosial, hadir pula kempen mengibarkan bendera hitam hadir atas tujuan berlainan.

 

Dalam kenyataannya, Media Sekretariat Solidariti Rakyat meminta rakyat mengibarkan bendera hitam bermula 3 Julai di hadapan rumah, kedai, jalan atau tempat sesuai sebagai tanda kekecewaan mereka terhadap kerajaan.

 

Orang ramai juga diminta mengambil gambar dan memuat naik di media sosial secara serentak pada pukul tiga petang esok dan menggunakan tanda pagar #Lawan pada setiap hantaran.

 

Tidak diketahui sama ada kempen ini akan berjaya selepas kerajaan mengumumkan lapan insentif pemulihan dengan peruntukan ratusan bilion ringgit bagi membantu rakyat.

 

Melalui insentif itu kerajaan turut memperuntukan RM300,000 kepada setiap ahli parlimen bagi menyediakan bakul makanan untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan ekoran pandemik Covid-19. Insentif terbaharu dan yang kelapan membabitkan peruntukan RM150 bilion bagi meringankan beban rakyat.

Namun, Media Sekretariat Solidariti Rakyat berkata, mereka kecewa kerana Parlimen yang sepatutnya menjadi tempat membincangkan jalan penyelesaian kepada isu-isu kesengsaraan rakyat sehingga hari ini masih lagi gagal bersidang.

 

Kempen kibar bendera hitam muncul selepas tular kempen mengibarkan bendera putih untuk membantu golongan yang terkesan akibat wabak Covid-19.

 

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, inisiatif bendera putih adalah satu manifestasi daripada keterdesakan rakyat Malaysia untuk melangsungkan kehidupan.

 

“Rakyat terpaksa merayu demi sesuap nasi dikala kerajaan hari ini menggajikan puluhan jemaah menteri dengan bayaran yang tinggi.

 

“Kelembapan pengumuman bantuan kewangan oleh kerajaan walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bukan perkara baharu, sama sekali tidak boleh diterima rakyat,” katanya.

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka siasatan berhubung kempen kibar bendera hitam yang diwar-warkan menerusi laman media sosial sejak beberapa hari lalu.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya sedia maklum berhubung kewujudan kempen tersebut dan memaklumkan satu kertas siasatan mengenainya telah dibuka.

 

“Untuk makluman, satu kertas siasatan berhubung perkara itu telah dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

“Setakat ini kami belum memanggil mana-mana individu untuk dirakamkan keterangan memandangkan ia masih baru dan pihak polis sedang mengesan mereka yang terlibat dengan kempen ini,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi hari ini.