Kit Siang Persenda Kenyataan ‘Kerajaan Allah’ Hadi Awang

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas sikap Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang mengeluarkan kenyataan kontroversi berkaitan ‘Kerajaan Allah’ baru-baru ini.

 

Menurut Hamzah, perkara paling mustahak sekarang ialah melihat negara dalam keadaan aman dan sejahtera.

 

Tegasnya, sekiranya ada pihak cuba menghasut dan memecah-belahkan rakyat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasti akan mengambil tindakan tegas.

 

Lim Kit Siang telah memuat naik satu tulisan di blognya yang bertajuk ‘Kerajaan Allah’ yang dianggap mempersendakan Islam dan boleh mencetus ketegangan di antara kaum serta agama.

 

Bapa kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu menulis: “If ‘Allah’s Government’ is the best form of government in Covid-19 Pandemic, why Malaysia is the last in the Economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be “Allah’s government”.

 

Terjemahan dalam bahasa Melayu, “Jika ‘Kerajaan Allah’ adalah sebaik-baik kerajaan dalam Pandemik Covid-19, mengapa Malaysia adalah yang terakhir dalam indeks normal global Ekonomi ketinggalan kepada negara-negara yang tiada satu pun yang boleh mengaku sebagai “Kerajaan Allah”.

 

 

Kit Siang dikatakan menulis rencana dengan tajuk itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum itu.

 

Dalam satu kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dipetik mengatakan bahawa pandemik Covid-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya “kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna” boleh menghapuskan virus itu.

 

Katanya, manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan, oleh itu pemimpin perlu bermuhasabah diri untuk menampung kekurangan berkenaan.

 

“Hanya mereka yang jahil agama saja mencari kelemahan dan kekurangan untuk diuar-uarkan, tanpa sama-sama tolong-menolong dalam menghadapi keadaan yang sangat mencabar seluruh dunia dan penduduknya,” katanya dalam catatan di Facebook.

 

Ahli Parlimen Marang itu berkata, seluruh dunia masih dilanda penularan Covid-19 dan tiada negara yang berjaya menghapuskan pandemik itu dan kesan sampingannya ke atas kehidupan rakyat.

 

“Termasuklah negara paling maju dan kaya kerana apa yang berlaku adalah ketetapan Allah yang tiada kuasa dapat melawan kehendak-Nya. Keadaan semasa masih membimbangkan, sehingga angka kematian akibat wabak di sesetengah negara sudah mengatasi mangsa korban peperangan.”

 

Bagaimanapun katanya, ketika pandemik Covid-19 sedang mengganas, ada negara yang dilanda “wabak politiking” disebabkan individu yang terlalu gila berkuasa tanpa mempedulikan nyawa rakyat yang sedang diancam wabak.

 

Manakala Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, berpendapat tulisan terbaharu Lim Kit Siang yang sudah dipadamkan itu bersifat menghina Islam, bertujuan mengelirukan orang ramai terhadap Islam dan boleh mengundang perbalahan antara kaum dan agama.

 

Menurut Nazir, respon Kit Siang langsung tidak selari dan tersasar daripada dengan kenyataan Abdul Hadi mengenai ‘Kerajaan Allah’. Abdul Hadi tidak pernah berkata kerajaan Malaysia hari ini adalah ‘Kerajaan Allah’ seperti mana yang cuba digambarkan Kit Siang,”

 

Beliau menegaskan, sangat jelas kenyataan Kit Siang ini bertujuan mewujudkan kebencian dan mengheret orang bukan Islam untuk mempermain dan menghina agama Islam.

 

“Mustahil selepas berpuluh tahun menjadi wakil rakyat, Kit Siang masih tidak memahami ayat-ayat mudah yang diungkapkan Presiden Pas itu.

 

“Pemuda Umno Titiwangsa menuntut Kit Siang memohon maaf secara terbuka dan memadam artikel itu bagi mengelak konflik perkauman dan agama ketika rakyat sedang tertekan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

 

Katanya, satu laporan polis juga akan dibuat secepat mungkin bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas usaha mencetuskan ketidaktenteraman awam.