7 Juta Rakyat Malaysia Bakal Jadi Penganggur!

Menurut jangkaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), lebih daripada tujuh juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan susulan penutupan operasi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akibat Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

 

Menerusi satu kenyataan Medac berkata, tinjauan yang dilakukan menganggarkan kira-kira 580,000 perniagaan yang mewakili 49 peratus sektor PKS dijangka terpaksa gulung tikar sekiranya tidak dibenarkan untuk beroperasi menjelang Oktober depan.

 

“Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menyumbang kepada hampir 40 peratus kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (GDP) negara sedang diancam risiko penutupan sekiranya PKP berpanjangan.

 

“Penutupan sektor PKS juga bermaksud lebih daripada tujuh juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan dan sekiranya setiap pekerja mempunyai dua tanggungan, seramai 14 juta individu akan terkesan dengan situasi ini,” kata kenyataan itu hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tengku Jaafar berkata, perkara itu perlu disuarakan agar masyarakat sedar situasi genting yang dihadapi sektor PKS tempatan dan kepentingan untuk mencari langkah mengatasinya.

 

“Kegagalan menyelesaikan perkara ini akan memberi impak buruk kepada lanskap sosio ekonomi negara sekaligus memberi kesan kepada kebajikan dan tahap mental rakyat.

 

“Jika sesuatu tidak dilakukan segera, lebih banyak PKS akan ditutup dan tidak mampu membantu membina semula ekonomi negara selepas sektor perniagaan dibenar beroperasi semula malah sekiranya berpanjangan, ia mampu mewujudkan kesan domino yang memberi kesan lebih buruk,” katanya.

 

Terdahulu, seramai 6,664 responden seluruh negara telah melibatkan diri dalam satu tinjauan oleh Medac sepanjang 15 hingga 28 Jun lalu bagi melihat kesan PKP 3.0 kepada lanskap keusahawanan di Malaysia.

 

Tinjauan tersebut mendapati kebanyakan perusahaan kini terkesan akibat PKP malah satu pertiga daripada responden memaklumkan bahawa mereka tidak menerima kepelbagaian bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

 

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut memaklumkan bahawa hampir 60 peratus usahawan menderita sekurang-kurangnya satu bentuk masalah kondisi mental sepanjang waktu PKP susulan kehilangan atau pengurangan pendapatan, hutang dan masalah kewangan termasuk risiko penutupan perniagaan.

 

“Lebih daripada 90 peratus usahawan tidak memiliki insuran dan 70 peratus lagi tiada pelan keselamatan sekiranya kehilangan sumber pendapatan.