Kumpulan Geng ‘Sakai’ Hadapi Pertuduhan Di Mahkamah

Seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan `Geng Sakai’ merupakan antara 19 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang itu.

 

Rosli Sahak (yang turut dikenali sebagai Sakai) bersama 18 yang lain berusia di antara 18 dan 47 tahun menyatakan `faham’ selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim M.M. Edwin Paramjothy.

 

Mereka ialah A. Ravindran, A. Uthayakumar, S. Sathiaseelan, T. Kumar, A. Kumaresan, N. Tanasilan, Thirumal Raj, M. Darshan, A. Dineswaran, S. Mohanraj,  S. Gobinath, R. Nantha Kumar, M. Ravishankar, M. Thinesh, N. Tannish, S. Sagadevan dan G. Sivanamtham dan Mohamad Faisal Mohamad Sharif.

 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dalam prosiding tersebut. Pengakuan hanya akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kerana tuduhan melibatkan kes keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, empat individu lagi akan dituduh kemudian kerana disahkan Covid-19.

 

Menurutnya, pihaknya melancarkan Op Fortress bersama Cawangan Khas Bukit Aman, JSJ Kontinjen Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu pada 20 Jun lalu bertujuan menghapuskan kumpulan jenayah terancang Geng Sakai.

 

“Berdasarkan risikan dan siasatan mendapati kumpulan ini terlibat dalam kes jenayah serius seperti bunuh, pemilikan senjata api, pengedaran dadah, jenayah kekerasan dan gangsterisme di ibu kota,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

 

Wang tunai sebanyak RM21,665.00; 5 buah kenderaan jenis Porsche Macan, Ford Ranger, Mercedes SUV, BMW dan Mazda CX9 dengan nilai anggaran sebanyak RM1.7 juta dan 318.5g dadah jenis Syabu dan 445.5g dadah jenis Heroin dengan anggaran nilai RM9,000.00 telah dirampas di dalam operasi ini dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM1.73 juta.

 

Seramai 26 suspek berusia dalam lingkungan 18 hingga 47 tahun yang disyaki menjadi ahli Geng Sakai ditahan dalam operasi itu.

 

“Daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 18 orang ditahan reman di bawah Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 selama (28) hari.

 

“Seramai lapan orang lagi telah dituduh atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya manakala tiga daripadanya adalah ahli kumpulan Geng Sakai yang kini berada di Penjara Sungai Buloh,” katanya.

 

Pertuduhan menyatakan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Sakai’ di Flat Seri Selangor di sini di antara Januari 2015 dan bulan lalu.

 

Hasil siasatan juga mendapati terdapat seorang ahli kumpulan berada di Pusat Koreksional, Puncak Alam dan seorang lagi sedang menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Akhlak, Simpang Renggam.

 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Farhan Aliff Ahmad, Nur Ainaa Ridzwan, Maryam Jamielah Manaff dan Rajdeep Singh Bhupinder Singh.

 

Seramai 17 tertuduh diwakili oleh barisan peguam bela terdiri daripada Datuk Geethan Ram Vincent, Revin Kumar, T. Harpal Singh, Jay Moy Wei Jiun, Wan Zaleha Abdul Wahab, P. Taneswaran serta K. Komagan manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Sebelum itu, barisan peguam bela memohon anak-anak guam dibebaskan dengan jaminan walaupun mereka ditahan di bawah SOSMA.