“Tak Perlu Angkat Bendera Putih”- PM Hina Kesusahan Rakyat

Kenyataan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, bahawa rakyat tidak perlu mengangkat bendera putih bagi mendapatkan bantuan adalah satu penghinaan terhadap mereka yang dalam kesulitan.

 

Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, berkata bendera putih adalah inisiatif rakyat bagi mendapatkan bantuan ketika sukar akibat wabak Covid-19.

 

“Jelas ucapan perdana menteri mengatakan tak perlu angkat bendera putih atau hitam tapi angkat bendera biru (PN) tindakan menyindir usaha rakyat yang menderita.

 

“Begitu juga dengan kenyataan perdana menteri semalam bahawa ada rakyat yang mengambil kesempat dengan bantuan yang diagihkan. Saya mahu tanya, berapa sangatkan nilai bakul makanan kerajaan agihkan?” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Arafat dengan kenyataan yang tidak sensitif serta gagal memahami keperitan rakyat itu, Muhyiddin boleh dianggap tidak layak menjadi pemimpin.

 

“Dia harus memohon maaf kerana menghina rakyat dalam kesusahan, apatah lagi menyindir rakyat supaya mengangkat bendera biru,” katanya.

 

Semalam, perdana menteri berkata rakyat tidak perlu mengibarkan bendera putih memandangkan bantuan secara bersasar akan disampaikan kepada kumpulan terbabit yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

 

Dia berkata, golongan yang layak menerima bantuan tersebut terdiri termasuk daripada mereka dari golongan B40, M40 dan T20 yang terkesan dari segi ekonomi.

 

“Kita tak kira. Kadang-kadang T20 pun ada yang terkesan kerana tak boleh berniaga, dia diberhentikan kerja.

 

“Tak payah naik bendera putih ke hitam. Nak naik bendera biru tak apa. Maksud saya tadi, kita tahu di mana (perlukan bantuan) dan kementerian ada rekod,” katanya kepada pemberita.

 

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Fatin Fariza Abdul Halim, berkata gerakan bendera putih yang dilancarkan rakyat adalah usaha murni rakyat bagi menjaga sesama sendiri.

 

Katanya ia menunjukkan kuasa rakyat yang bersatu padu tidak mengira bangsa dan agama membantu antara satu sama lain.

 

“Pelbagai laman sesawang turut dibangunkan rakyat sebagai usaha untuk memudahkan pemberi dan penerima bantuan membantu antara satu sama lain.

 

“Sepatutnya kita hargai usaha mereka yang memudahkan usaha murni ini.

 

“Pada masa yang sama, penggunaan laman sesawang ini sepatutnya dimanfaatkan kerajaan dan wakil rakyat untuk menggerakkan jentera mereka membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

 

“Jentera perlu digerakkan untuk pergi sahkan keadaan rakyat yang mengibarkan bendera putih ini. Betul ke mereka memerlukan bantuan. Jika betul, bukankah pihak kerajaan dan wakil rakyat mempunyai peruntukan untuk membantu?” katanya.