Bukan Mukhriz Atau Azmin, Anwar Ibrahim Tetap Calon Terbaik PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetap dianggap calon paling layak untuk mengisi kerusi Perdana Menteri menggantikan Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggap gagal dan tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

 

Menurut Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, namun usaha tersebut terhalang apabila kini muncul ‘seseorang’ yang beliau percaya telah diupah oleh seseorang untuk menggagalkan usaha berkenaan.

 

“Dia sebelum ini telah membuat fitnah terhadap Anwar dengan tuduhan serangan seksual terhadapnya.

 

“Mudah untuk memahami perjalanan fitnah ini melalui sejarah pada garis masa bermula dari 1998. Kerana pengulangan fitnah yang seakan-akan sama telah berjaya membawa Anwar ke penjara dan kini tahun 2021, sejarah itu cuba diulang semula,” katanya.

 

Abdullah Sani merujuk kepada saman yang difailkan Muhammed Yusoff Rawther terhadap Presiden PKR itu atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadapnya pada 2018.

 

Abdullah Sani berkata, ini adalah petanda yang cukup kuat bahawa ada pihak yang tidak senang dan menggelupur dengan potensi Anwar sebagai Perdana Menteri masa depan.

 

Katanya, berdasarkan sejarah yang tidak dapat dinafikan, ketika krisis ekonomi yang pernah melanda negara, Anwar berjaya membawa negara keluar daripada kemelut tersebut sehingga diiktiraf sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia.

 

“Ketidaktentuan politik dan kegagalan mengurus bencana menjadi punca utama para pelabur keluar dari Malaysia.

 

“Ini memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi Malaysia dan kita juga akan terjerumus sekali lagi dalam krisis ekonomi seperti 1998. Ditambah pula dengan Perdana Menteri hilang sokongan dari UMNO,” katanya.

 

Beliau menambah, ini adalah kerana kegagalan kerajaan yang diterajui oleh PN bersama UMNO dan beberapa parti lain telah gagal dalam mengurus krisis pandemik Covid-19 dengan baik dan berkesan.

 

Kata ahli Parlimen dari Selangor itu, dengan saiz Kabinet yang besar termasuk 4 orang menteri kanan dan kini dilantik pula Timbalan Perdana Menteri yang baru tidak memberi sebarang jaminan kepada jalan keluar krisis ini malah hanya menambah perbelanjaan gaji dan elaun para menteri di saat rakyat kesusahan dan kelaparan sehingga terpaksa menaikkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan.

 

“Ditambah lagi angka kes bunuh diri sebanyak 468 kes dicatatkan dari Januari hingga Mei 2021. Rakyat kini kembali memberi pengharapan kepada Pakatan Harapan setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lagi bersama PH,” katanya.