Pelan Pemulihan Negara – Menteri Kewangan Bertemu Pembangkang

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menghabiskan minggu ini dengan bertemu beberapa pemimpin pembangkang untuk mengumpulkan maklum balas di tengah-tengah wabak Covid-19 yang semakin memburuk. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengubah strateginya kerana kes Covid-19 harian mencecah lebih dari 10,000.

 

Antara langkah tersebut termasuk memperkenalkan pasukan petugas khas untuk menangani keadaan di Lembah Klang, menubuhkan Majlis Pemulihan Nasional dan melancarkan Operasi Surge Capacity menyasarkan setiap orang dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya dos pertama Vaksin Covid-19.

 

Antara strategi lain, kerajaan menemui pemimpin pembangkang dalam sesi libat urusnya. PKR dan DAP mengesahkan Tengku Zafrul telah bertemu wakil parti itu pada hari Khamis. Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga presiden Parti Pejuang Tanah Air, juga mendedahkan Tengku Zafrul telah bertemunya pada Isnin lalu.

 

Delegasi DAP yang terdiri daripada Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang juga bekas menteri kewangan, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar bertemu dengan Zafrul di Kementerian Kewangan pada 15 Julai.

 

Pemimpin DAP berkenaan menyerahkan memorandum dalam pertemuan bersama menteri kewangan itu. Memorandum itu, antara lain meminta peningkatan besar dalam pelaburan kapasiti kesihatan.

 

“Kita perlu meningkatkan kemampuan pengujian dan pengesanan bahkan ketika kita meningkatkan vaksinasi. Kerajan tidak boleh ‘terlalu berani’ mengatakan dengan penutupan dan vaksinasi, maka ujian dan pengesanan tidak lagi menjadi keutamaan.

 

“Kecuaian dan kegagalan dalam operasi ujian dan pengesanan semasa oleh Kementerian Kesihatan telah menjejaskan keberkesanan penutupan ketika ini,” katanya.

 

Memorandun itu juga meminta agar tenaga kerja dalam sektor perawatan kesihatan awam diperbaiki secara drastik dengan memastikan 35,216 pegawai kesihatan kontrak diberikan jawatan tetap.

 

Ia juga meminta dasar fiskal pengembangan yang berani untuk menyokong isi rumah dan perniagaan. Langkah lain yang dicadangkan termasuk meningkatkan bantuan kebajikan dan menjadikan moratorium pinjaman bank tanpa faedah.

 

Pada Khamis, delegasi PKR terdiri daripada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin juga bertemu dengan Zafrul.

 

Mereka antara lain meminta sebuah jawatankuasa terpilih parlimen untuk memantau pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

 

Semalam Zafrul memaklumkan mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) bersetuju menggantikan badan itu dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin

 

Zafrul berkata mesyuarat semalam yang dipengerusikan perdana menteri turut memutuskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dibentangkan di parlimen pada 26 Julai ini.

 

MPN juga, kata Zafrul yang juga menteri penyelaras Pelan Pemulihan Negara akan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin.