Adun DAP Ceroboh Hutan Simpan Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

Semua 29 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Ulu Jelai di Lipis pada Ahad dilepaskan dengan jaminan polis pada awal pagi Isnin.

 

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mereka dibebaskan kira-kira 3 pagi selepas diambil keterangan.

 

“Bagi pihak polis, siasatan dilakukan kerana kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran, manakala dakwaan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran disiasat oleh Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP),” katanya semasa dihubungi di sini pada Isnin.

 

Sebelum itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bryan Lai Wai Chong bersama 29 individu lain kerana dipercayai memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis.

 

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, kesemua mereka yang berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor itu akan disiasat di bawah Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara 1984.

 

Menurut siasatan awal mendapati, kumpulan berkenaan memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis sekitar jam 11 pagi pada Sabtu tanpa kebenaran tetapi dimaklumkan tujuan mereka memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Lipis.

 

Sedangkan pemeriksaan JPNP dan Pusat Kawalan Operasi Bencana mendapati tiada kelulusan dikeluarkan bagi tujuan tersebut.

 

Polis mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong bersama 29 individu lain bagi membantu siasatan kerana dipercayai memasuki hutan di Pos Lenjang, Cameron Highlands ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Tindakan mereka memasuki kawasan berkenaan pada jam 1 pagi Ahad itu menimbulkan pelbagai persoalan kerana kesemua mereka sebelum itu dilaporkan sedang berkhemah di tepi Sungai Pos Lenjang.

 

Kesemua mereka ditahan Jabatan Perhutanan sebelum dibawa di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Lipis untuk diambil keterangan. Kesemua mereka sebelum itu dibawa ke Balai Polis Betau untuk ujian saringan Covid-19.

 

Pada Ahad, JPNP mengesahkan semua suspek yang beralamat di Kuala Lumpur dan Selangor itu ditahan pada 8 pagi di Kampung Rakoh, Pos Lenjang kerana didakwa memasuki hutan simpan berkenaan dengan menggunakan 11 kenderaan pacuan empat roda tanpa kebenaran pada Sabtu lepas.