Tun M Sedia Jadi Saksi Kes Rasuah Syed Saddiq

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedia menjadi saksi kes mahkamah membabitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dituduh pecah amanah dan menyalahgunakan wang sumbangan parti.

 

Dr Mahathir berkata, beliau sedia menjadi saksi kerana yakin ada pihak tertentu berusaha membunuh karier politik bekas Menteri Belia dan Sukan itu melalui pendakwaan di mahkamah.

 

“Syed Saddiq ini terserlah sikit, dia berjaya kumpul sokongan golongan muda, jadi ada orang hendak bunuh karier politiknya awal-awal lagi.

 

“Jika saya dijemput menjadi saksi, saya akan pergi (ke mahkamah),” katanya ketika sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes pendakwaan Syed Saddiq di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM1 juta dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

 

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, timbul tanda tanya kerana pendakwaan terhadap Syed Saddiq dibuat ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerlukan sokongan Ahli Parlimen.

 

“Saya dengar baru sekarang hendak bawa dia ke mahkamah, sebenarnya benda ini sudah lama, perkara ini sudah dibangkitkan lima kali, tapi tiada tuduhan apa pun.

 

“Sekarang ini baru nak tuduh, saya hairanlah juga kenapa dahulu tidak buat dan sekarang baru hendak tuduh (di mahkamah),” katanya.

 

Syed Saddiq menghadapi pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

 

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 

Bekas Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Muar itu selesai membayar jaminan RM80,000 daripada jumlah keseluruhan RM330,000 yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.  Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Syed Saddiq melunaskan bayaran ikat jamin sebanyak RM80,000 pada hari ini manakala baki RM250,000 selewat-lewatnya Selasa depan.