Zahid Hamidi Antara 35 Individu Positif Covid-19

Sejumlah 35 individu dalam kalangan ahli Parlimen serta pegawai mereka disahkan positif Covid-19. Perkembangan ini suatu yang mengejutkan menjelang sehari pembukaan sidang khas Parlimen, Isnin ini.

 

Antara ahli Parlimen yang dijangkiti virus itu ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Mansor Othman.

 

Laporan Utusan Malaysia dan Malaysiakini memetik sumber mengatakan bahawa Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Aziz juga positif. Walaupun ada keraguan pada mulanya, namun akhirnya ujian calitan menunjukkan dia negatif.

 

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Zuraida Kamaruddin mengesahkan bahawa dia adalah salah seorang kontak rapat Mansor.

 

Turut dikatakan terlibat ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon kerana pegawai pengiringnya positif.

 

Bagaimanapun, seorang pegawai dari pejabat timbalan speaker menafikan bahawa Rashid menjadi kontak rapat pesakit Covid-19. Dia juga mengatakan bahawa Rashid dan semua pegawainya telah diuji negatif Covid-19.

 

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa juga positif Covid-19, tetapi sumber yang dekat dengannya kemudian menafikan perkara ini.

 

Menteri itu dikuarantin pada 15 Julai setelah pegawai khasnya positif Covid-19. Tidak jelas jumlah ahli parlimen lain yang diuji positif atau harus dikuarantin kerana kontak rapat.

 

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim memberitahu bahawa mereka yang positif mesti memaklumkan status mereka agar kontak rapat dapat diuji.

 

Ahli parlimen berkenaan tidak akan dapat mengambil bahagian secara maya dalam sidang parlimen minggu ini, kerana perintah tetap Dewan Rakyat belum diubah untuk membolehkan persidangan hibrid. Parlimen akan bersidang selama lima hari mulai Isnin.

 

Agenda setakat ini adalah mendengar taklimat daripada kerajaan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang dijangka turut melibatkan perbahasan.

 

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Dewan Rakyat mempertimbangkan untuk hanya membenarkan 80 ahli parlimen masuk ke dalam dewan pada satu masa.

 

Menurut Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, 35 ahli parlimen hanya menerima satu dos vaksin, sementara empat yang lain belum diberi vaksin atas sebab-sebab tertentu. Seratus lapan puluh satu ahli parlimen lain sudah divaksin sepenuhnya.