Batal Darurat, Bolehkah Tuntut Pampasan Kompaun Dari 21 Julai?

Adakah kerajaan akan membayar pampasan bagi mereka yang telah dikenakan tindakan di bawah ordinan-ordinan darurat yang baharu dibatalkan.

 

Ini susulan pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan hari ini bahawa semua Ordinan Darurat dibatalkan mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sejak 21 Julai lalu.

 

Dalam catatan di Facebook, peguam Syahredzan Johan berkata, sekiranya apa dikatakan menteri itu benar, ini bererti Ordinan Darurat telah dibatalkan sejak enam hari lalu namun tidak dimaklumkan kepada rakyat.

 

Menurutnya, dari 21 Julai hingga hari ini, hanya menteri Kabinet dan pegawai tertinggi kerajaan yang maklum mengenai perkara itu.

 

“Dalam tempoh tersebut juga, berapa ramai yang sudah kena kompaun, kena tahan, harta disita dan penerbitan dipadam berdasarkan suatu undang-undang yang menurut kerajaan sudah ‘dibatal’?

 

“Ini zalim namanya. Tidak maklumkan kepada rakyat secara rasmi dan hak rakyat dicabuli tanpa undang-undang sebagai punca kuasa.

 

“Rakyat berhak untuk tahu sekiranya terdapat perubahan dalam undang-undang. Melalui warta atau sekurang-kurangnya pengumuman,” katanya.

 

Beliau berkata, ia bukan umpama menghantar pesanan dalam kumpulan sembang WhatsApp dan meminta berita itu disebarkan, sebaliknya menegaskan ia melibatkan undang-undang yang memberi impak dan kesan terhadap 32 juta rakyat.

 

Syahredzan berkata, antara yang dibatalkan termasuk Ordinan Darurat (Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021, yang membenarkan pihak berkuasa mengeluarkan kompaun sehingga RM10,000 terhadap individu; selain Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang menjadikannya satu jenayah untuk menyebar “berita tidak benar” dan memberi kuasa kepada penguasa untuk memadam sesuatu yang dikongsikan dalam talian.