Kerap Ejakulasi Rendahkan Risiko Kanser Prostat

Satu kajian mendapati lelaki yang lebih kerap melakukan ejakulasi adalah berisiko rendah untuk mengalami kanser prostat, lapor portal berita MailOnline semalam.

 

Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Harvard itu mendedahkan berdasarkan data yang melibatkan seramai 32,000 orang lelaki, mereka yang melakukan ejakulasi sekurang-kurangnya 21 kali sebulan dapat mengurangkan risiko kanser prostat sebanyak satu pertiga kali.

 

Sebilangan pakar pula percaya ejakulasi dapat menghilangkan prostat dari karsinogen, merendahkan keradangan serta mengurangkan tekanan dan memberikan tidur yang lebih baik, sekali gus merendahkan risiko kanser.

 

“Penemuan ini memberikan bukti tambahan terhadap peranan bermanfaat ejakulasi kerap yang berlaku di sepanjang kehidupan seorang lelaki dewasa.

 

“Ia terutamanya dalam etiologi kanser prostat, khususnya penyakit berisiko rendah,” kata penulis kajian tersebut.

 

Sementara itu, hubung kait antara ejakulasi dengan kanser prostat sering menjadi kontroversi dalam kalangan para penyelidik sebelum ini.

 

Ini kerana terdapat kajian Universiti Harvard pada tahun 2004 yang mendapati tiada kaitan antara ejakulasi dengan kanser prostat selain kajian Universiti Cambridge pada tahun 2008 pula mendedahkan bahawa kadar kanser prostat meningkat sejajar dengan kekerapan beronani.

 

“Terdapat beberapa kajian yang bertentangan. Bagaimanapun, kebanyakan penyelidik bersetuju bahawa terdapat penurunan kejadian kanser berisiko rendah,” kata seorang pakar urologi, Dr. Odion Aire.

 

Tanda-tanda dan simptom kanser prostat adalah:

 

  • Perubahan tabiat pundi kencing seperti perlu buang air lebih kerap terutama waktu malam
  • Keperluan membuang air kecil tinggi
  • Kesukaran memulakan atau menghentikan aliran air kecil
  • Ketidakupayaan buang air kecil
  • Aliran air kecil lemah atau kurang
  • Rasa pundi kencing tidak benar-benar kosong/ tidak lawas membuang air kecil
  • Pembakaran atau kesakitan semasa membuang air kecil
  • Darah dalam air kecil atau air mani (keadaan yang dikenali sebagai hematuria)
  • Ejakulasi menyakitkan

 

Tanda-tanda dan simptom yang lambat berlaku apabila kanser tumbuh kebih besar atau merebak ke bahagian tubuh lain termasuk organ:

 

  • Sakit tulang(terutamanya di bahagian belakang, pinggul, paha atau leher)
  • Kehilangan berat
  • Keletihan
  • Jumlah sel darah merah rendah (anemia)
  • Lemah atau kebas pada kaki
  • Gangguan pundi kencing atau usus

 

Selain tanda-tanda kanser prostat, anda harus menjalani ujian pemeriksaan kanser secara kerap. Jika disyaki kanser, pasukan penjagaan kesihatan akan mengesahkan kehadiran tumor, dan jenis kanser itu. Proses diagnosis mungkin kelihatan panjang dan mengecewakan, tetapi penting bagi doktor untuk menolak kemungkinan sebab lain untuk masalah kesihatan sebelum membuat diagnosis kanser.