Warisan Sokong Anwar Dengan Syarat Tiada Kluster Mahkamah

Warisan akan menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dengan syarat presiden PKR itu memiliki sokongan yang cukup dan tidak melibatkan “kluster mahkamah”.

 

Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman berkata partinya dalam usaha meyakinkan ahli parlimen lain untuk menyokong Anwar.

 

Namun jika Anwar gagal mendapatkan majoriti diperlukan, katanya lagi, Warisan berpendirian dia perlu menyokong presiden parti itu, Mohd Shafie Apdal untuk mendapatkan majoriti.

 

“Kita telah jelaskan pendirian. Tiada ‘kluster mahkamah’,” katanya.

 

Menurut Azis, jumlah asas yang digunakan ialah “105” ahli parlimen – merangkumi mereka daripada PH, Warisan, Parti Bersatu Sarawak, Pejuang, Muda dan seorang ahli parlimen bebas.

 

Untuk mendapat majoriti mudah, seorang calon perdana menteri perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 111 ahli parlimen. Terdapat 220 ahli parlimen pada masa ini, dengan dua kerusi kosong di Dewan Rakyat.

 

“Jika Anwar tidak dapat melepasi jumlah ini, kita berharap dia akan beri peluang sama kepada Shafie untuk meyakinkan tujuh lagi (ahli parlimen untuk beri sokongan). Kita akan cuba yang terbaik.

 

“Jika Shafie dapat sokongan tujuh orang lagi, kita harap PH akan sokong kita. Kita akan beri peluang kepada Anwar untuk buktikan majoritinya. Dia adalah pilihan pertama, kemudian Shafie.”

 

Pada masa sama, Azis mengingatkan masa kian suntuk buat mereka dan Warisan berharap Anwar dapat membuat keputusan hari ini.

 

“Masa tidak menyebelahi kita. Kita perlu buat keputusan cepat. Jika Anwar dapat cari tujuh orang lagi, selagi ia tak libatkan ‘kluster mahkamah’, kita akan bersama-sama (sokong). Kita akan sokong dia,” katanya lagi.

 

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong menitahkan ahli Dewan Rakyat untuk membuat akuan bertulis dengan menamakan calon pilihan sebagai perdana menteri.

 

Mereka diberi masa sehingga jam empat petang esok untuk mengemukakannya.

 

Azis berkata lagi, untuk beberapa hari ini Warisan telah cuba meyakinkan ahli parlimen untuk menyokong Anwar.

 

“Kita juga tolong Anwar. Anda tak boleh kata sebaliknya. Namun, ada kala orang kata macam ‘saya boleh sokong Shafie, tapi bukan Anwar’.

 

“Ada yang sukar diyakinkan, tetapi kita telah mainkan peranan kita. Shafie juga mainkan peranan untuk dapatkan sokongan kepada Anwar. Ada ahli parlimen memiliki kecenderungan sendiri,” dakwanya.

 

Gelaran ‘kluster mahkamah’ dicetuskan penyokong Perikatan Nasional (PN) untuk merujuk ahli parlimen Umno yang sama ada sedang berdepan dakwaan di mahkamah atau telah disabit bersalah.