Ismail Sabri Diingat Jangan Ulangi Kesilapan Mahiaddin

Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pendahulunya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, Muhyiddin telah melakukan beberapa kesilapan sepanjang beliau menjawat jawatan nombor satu negara itu.

 

Menurut beliau, kesilapan utama Perdana Menteri sebelum ini adalah beliau telah ‘memandulkan’ Parlimen.

 

“Dewan Rakyat ialah punca kuasa seseorang Perdana Menteri. Sebab itulah ditanya setiap satu ahli Parlimen siapa yang mereka sokong sebagai Perdana Menteri.

 

“Kedua, Perdana Menteri adalah Ketua Dewan, ‘Leader of the House’, dan demikian kenalah juga memimpin Dewan Rakyat. Caranya, jadikan Dewan Rakyat sebagai landasan untuk ‘engage’ atau melibatkan kesemua ahli Parlimen dalam menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi rakyat dan ekonomi negara.

 

“Perdana Menteri ke-8 terlalu ‘ego’ sehingga tidak langsung mahu menjadikan Parlimen sebagai landasan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen mahupun pembangkang atau kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, semalam.

 

Ismail Sabri petang tadi mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Kesembilan selepas Yang di-Pertuan Agong mengesahkan beliau telah mendapat sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen.

 

Tambah Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Dewan Rakyat juga mempunyai pelbagai peranan yang seharusnya dimanfaatkan kerajaan untuk kebaikan rakyat.

 

“Dewan Rakyat mempunyai pelbagai jawatankuasa yang patut dibenar memainkan peranan untuk manfaat kerajaan. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) umpamanya boleh memeriksa akaun-akaun kementerian, jabatan dan entiti yang mendapat dana awam.

 

“Dewan Rakyat juga ada ketua pembangkang. Tak payah nak ikut cara Perdana Menteri Kelapan sehingga hendak dijadikan Ketua Pembangkang bertaraf menteri (sebaliknya) bukakan perbincangan antara Perdana Menteri dengan ketua pembangkang,” ujarnya.

 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga mesti mempertimbangkan sentimen rakyat terhadap pentadbiran terdahulu dalam memilih Kabinetnya, kata seorang pemimpin Pemuda Umno.

 

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, Perdana Menteri mempunyai prerogatif untuk membentuk Kabinetnya.

 

Menurutnya, walaupun penting untuk terus menangani krisis kesihatan dan ekonomi, sentimen awam juga adalah penting.

 

“Rakyat tidak berpuas hati dengan pengurusan beberapa perkara kritikal terutama kesihatan dan ekonomi. Jadi beliau mesti terlebih dulu menilai prestasi Kabinet sebelum ini.”

Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.

 

Nizham berkata, walaupun mungkin tidak akan tidak banyak perbezaan berbanding Kabinet terdahulu, masih ramai pilihan Ahli Parlimen untuk mengisi jawatan yang ada.

 

Terdahulu hari ini, bekas menteri wilayah persekutuan Annuar Musa berkata, beliau percaya barisan Kabinet Ismail Sabri tidak banyak berbeza daripada yang sebelumnya, memandangkan mereka yang mampu membentuk Kabinet juga antara 114 Ahli Parlimen yang pada awalnya menyokong pentadbiran Muhyiddin Yassin.

 

Bagaimanapun, Nizham berkata, ada menteri seperti Khairy Jamaluddin telah menunjukkan prestasi baik seterusnya melihat sebagai keputusan baik sekiranya beliau kembali berada dalam Kabinet.

 

“Komunikasi amat penting untuk kerajaan ini. Pentadbiran terdahulu gagal menenangkan dan memberi pencerahan mengenai pelbagai isu yang akhirnya memakan diri.

 

“Saya percaya negara ini memerlukan wajah baharu dengan pengalaman serta kebolehan diperlukan untuk membantu Perdana Menteri membawa kita keluar daripada krisis.”

 

Susulan itu, Nizham berkata adalah penting supaya Kabinet Ismail menggambarkan komitmen Perdana Menteri dalam memerangi wabak dan memulihkan ekonomi.

 

“Sudah pasti mereka yang berada dalam Kabinet mesti memiliki kewibawaan, integriti dan imej bersih.

 

“Walaupun saya memahami kemelut politik dihadapinya dalam memikirkan barisan Kabinet, beliau mesti melakukan apa yang betul meskipun sukar.”