Taliban Kuasai Sumber Mineral Afghanistan Bernilai RM4.24 trilion

Taliban kini menguasai sumber semula jadi yang dianggarkan bernilai AS$1 trilion (RM4.24 trilion) yang dapat memberi peralihan dunia ke tenaga boleh diperbaharui.

Namun, sejak sekian lama Afghanistan berjuang untuk menerokai khazanah besarnya, namun disebabkan perang yang tidak berkesudahan selain infrastruktur lemah sekali gus menghalang negara itu mengeluarkan sumber mineral bagi meningkatkan kekayaan ekonominya.

Taliban yang mula menguasai negara itu selepas 20 tahun kini terikat dengan krisis kewangan, berikutan beberapa negara yang menyalur bantuan menghentikan sokongannya terhadap Afghanistan.

Menurut laporan oleh Kajian Geologi AS (USGS) Januari lalu, sumber mineral semula jadi yang berharga itu termasuk bauksit, tembaga, bijih besi, litium dan nadir bumi.

Tembaga yang diperlukan untuk membuat kabel kuasa, antara komoditi terpenting tahun ini apabila harganya melonjak menjadi lebih dari AS$10,000 (RM42,379.99) satu tan.

Lithium pula ialah elemen penting untuk membuat bateri kereta elektrik, panel solar dan kincir angin.

Permintaan dunia untuk litium dijangka meningkat lebih daripada 40 kali ganda menjelang 2040, menurut Badan Tenaga Antarabangsa.

Pengarang buku ‘The Rare Metals War’, Guillaume Pitron, berkata, Afghanistan memiliki rizab besar litium yang belum diterokai hingga hari ini.

“Afghanistan juga memiliki banyak sumber nadir bumi yang digunakan dalam sektor tenaga bersih seperti neodymium, praseodymium dan dysprosium.

“USGS mengganarkan nilai kekayaan mineral yang belum diterokai negara itu dianggarkan bernilai AS$1 trilion (RM4.24 trilion), walaupun pegawai Afghanistan menyatakan ia tiga kali lebih tinggi.

Afghanistan sudah melakukan penggalian batu berharga seperti zamrud dan rubi serta turmalin separa berharga dan lapis lazuli yang lebih baik, bagaimanapun perusahaan itu depan isu penyeludupan ke Pakistan.

Afghanistan juga melombong mineral lain termasuk talc, marmar, arang batu dan besi.

Walaupun peralihan kuasa oleh Taliban boleh menjejaskan pelabur asing, China adalah satu-satunya negara yang nampaknya bersedia melakukan perdagangan dengannya.

Ekonomi terbesar kedua di dunia berkata, negaranya bersedia untuk mengadakan hubungan ‘mesra dan bekerjasama’ dengan Afghanistan selepas Taliban memasuki Kabul.

SumberBHarian