Sultanah Zahirah Beri Keterangan Berhubung Saman Sarawak Report

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, perlu memberi keterangan dalam kes saman dikemukakannya terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.

 

Ia selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Rewcastle Brown dan dua lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengecualikan Sultanah Nur Zahirah daripada memberi keterangan.

 

Saman dikemukakan Sultanah Nur Zahirah itu berhubung dakwaan fitnah membabitkan Terengganu Investment Authority (TIA) dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

 

Terdahulu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, dalam keputusan sebulat suara, berkata plaintif (Sultanah Nur Zahirah) tidak sepatutnya mengguna pakai Aturan 14A Perintah Mahkamah 2012 supaya kes itu diputuskan melalui isu undang-undang.

 

“Sebaliknya perkara itu perlu diputuskan dalam perbicaraan. Keseluruhan permohonan oleh Sultanah Nur Zahirah seharusnya ditolak. Sehubungan itu, mahkamah membenarkan rayuan ini dan mengetepikan perintah Hakim Mahkamah Tinggi pada 13 Disember 2013,” katanya.

 

Mahkamah dalam penghakimannya turut berkata kenyataan fitnah dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report – The Inside Story of 1MDB Expose’ perlu diputuskan dalam perbicaraan.

 

“Penerbitan itu perlu dibaca secara menyeluruh. Ia tidak boleh dipangkas seperti yang dilakukan oleh Mahkamah Tinggi mengikut Aturan 14A,” katanya.

 

Turut bersidang pada prosiding itu Hakim Mahkamah Rayuan Datuk S Nantha Balan and Datuk Lee Heng Cheong yang diadakan secara dalam talian, Zoom.

 

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Peguam Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili Rewcastle-Brown or Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak buku, Vinlin Press Sdn Bhd serta peguam Vishnu Kumar yang bertindak bagi pihak Sultanah Nur Zahirah.

 

Pada 13 Disember 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Sultanah Nur Zahirah mengikut Aturan 14A Perintah Mahkamah 2012, iaitu supaya kes saman itu diputuskan melalui isu undang-undang.

 

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan permohonan Sultanah Nur Zahirah mengikut Aturan 14A Perintah Mahkamah 2012, iaitu bagi melupuskan sebahagian besar kes saman terbabit.

 

Ahmad Zaidi memutuskan bahawa kes saman berkenaan akan diputuskan melalui isu undang-undang dan keterangan defendan (Rewcastle-Brown serta dua yang lain).

 

Dalam kes saman difailkan pada 21 November 2018, Sultanah Nur Zahirah mendakwa sekitar Ogos 2018, Rewcastle-Brown bersama-sama defendan kedua mengeluarkan kenyataan fitnah dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report – The Inside Story of 1MDB Expose’ dan dicetak oleh defendan ketiga.

 

Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif berkata, fitnah itu antara lain bermaksud beliau mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu, menggunakan peranan untuk mempengaruhi penubuhan TIA dan menolong ahli perniagaan Jho Low atau Low Taek Jho mendapatkan peranan sebagai penasihat dalam TIA.