Penyakit Ganjil Buat Badan Bayi Jadi Keras

Seorang bayi di United Kingdom (UK) terpaksa melalui masa depan yang tidak menentu apabila disahkan menghidap satu penyakit ganjil.

Lexi Robins yang berusia setahun dari Hertfordshire, didiagnosis menghidap Fibrodysplasia Ossificans Progressiva (FOP).

Penyakit genetik itu secara beransur-ansur menyebabkan tisu penghubung, tendon, ligamen dan otot digantikan dengan tulang ekstraskeletal.

Ia akhirnya akan menjadikan badan mengeras dan menyekat pergerakan pesakit. Sebarang trauma hentaman pada otor seperti terjatuh atau pembedahan, akan menyebabkan bengkak dan pembentukan tulang tambahan yang tidak perlu.

Ibu dan bapa bayi itu, Dave dan Alex memutuskan untuk melancarkan petisyen bagi mencari dana untuk penyakit itu kerana tiada peruntukan disediakan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Ia bagi membantu penyelidikan mengenai penyakit ganjil itu. Sejak dilancarkan, ia berjaya mengumpul 100,000 Pound Sterling (kira-kira RM573,565).

Suami isteri itu menyedari Lexi memiliki jari kaki besar yang luar biasa, dan cuma sedikit pergerakan berlaku di bahagian ibu jari bayinya. Lexi juga mengalami ruam di seluruh tubuhnya.

Dalam pada itu, sebarang benjol boleh menyebabkan tulang tumbuh lebih besar dan menjejaskan pergerakan Lexi. Lebih buruk, dia juga berisiko menjadi pekak 50 peratus, jika tulang tumbuh di lehernya.

Apabila dewasa, Lexi perlu sangat berhati-hati jika dia ingin mendapatkan suntikan atau rawatan pergigian kerana prosedur-prosedur tersebut akan menghasilkan lebih banyak tulang tambahan.

Penyakit itu juga menghalang Lexi daripada mengandung dan melahirkan anak. Ibu bapa Lexi berusaha mendapatkan rawatan di Australia dan India, demi anak kesayangan mereka.

Buat masa sekarang, masih belum ada rawatan yang benar-benar berkesan menyembuhkan penyakit tersebut. Hanya beberapa jenis ubat digunakan untuk menghilangkan bengkak dan sakit.