Ahmad Dhani Tanggung Nafkah Keluarga 5 Balu

Pada tahun 2013, pemuzik, komposer dan penyanyi Ahmad Dhani diuji dengan musibah dahsyat apabila anak lelakinya, Dul Jaelani terlibat dalam nahas jalanraya pada tahun 2013.

Nahas maut yang membabitkan Dul di Kilometer 8 Tol Jagorawi tersebut telah mengorbankan enam orang pengguna jalan raya dan mencederakan 10 yang lainnya. Dul pulamengalami patah tulang sehingga trauma.

Kemalangan tersebut tidak sekadar menarik perhatian umum, namun menjadi kontroversi apabila Dul diketahui memandu dalam keadaan laju hanya pada umur 13 tahun dan tidak memiliki lesen.

Punca kemalangan dikatakan berpunca daripada kenderaan Mitsubishi Lancer yang dipandu oleh anak penyanyi kumpulan Dewa 19 itu. Kenderaan itu dilaporkan masuk ke arah bertentangan secara tiba-tiba dan merempuh dua kenderaan lain.

Bagi meredakan kemarahan masyarakat, Ahmad Dhani selaku ayah telah mengambil satu tanggungjawab yang berat.

Selain berdepan proses undang undang, suami Mulan Jameela itu juga membuat satu janji iaitu akan terus membiayai keluarga mangsa kemalangan maut itu terutama dari segi pendidikan anak anak mereka.

Sewaktu menjadi tetamu di satu stesen podcast, Dhani mengaku sampai saat ini, sudah lapan tahun dia masih menanggung nafkah balu-balu mangsa kemalangan maut yang disebabkan oleh kelalaian anaknya itu.

“Ya, saya masih menanggung biaya janda janda yang suami mereka maut dilanggar Dul dulu,” katanya kepada pengendali podcast seperti dilaporkan InsertLive.

Menurut pelantun lagu Sedang Ingin Bercinta itu, biarpun tidak pernah membuat sebarang perjanjian bertulis, namun dirinya mahu terus menunaikan janji yang pernah dilafazkan kepada mereka.

“Memang secara undang undang tidak pernah buat perjanjian. Tapi saya sudah berjanji kepada keluarga mangsa. Jadi, ia tanggungjawab secara moral. Saya janji untuk biaya anak anak mereka sehingga tamat persekolahan,” katanya.

Namun tanpa segan silu Dhani mengaku, bulan ini, bayaran yang patut dilaksanakan setiap 5 haribulan itu telah lewat dibuat. Semuanya gara gara dia juga telah mengalami kesan yang teruk akibat pandemik COVID 19.

“Jadi, saya bayar atau biaya enam janda ini dengan mengambil duit dari bisnes karaoke saya, Masterpiece. Malangnya kerana pandemik, Masterpiece pun mati. Walaupun saya tak punya wang seperti bulan ini yang telah lewat lebih 10 hari, janda janda itu tak peduli. Apa yang mereka tahu itu (wang) terus ada,” katanya lagi.

Dhani turut memberitahu kini Dul turut memainkan peranan membiayai keluarga mangsa kerana dia juga sudah punya pendapatan sendiri. “Ada satu keluarga yang dia biaya, lebihnya, lima keluarga saya biaya,” akui Dhani.