Seri Perdana – Najib Dakwa Muhyiddin Mahu Besarkan Dapur

Hanya pihak yang “tertipu” dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) percaya dia mengambil balik perabot dan barangan peribadi dari Seri Perdana selepas BN kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, tulis Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak di akaun Facebooknya.

Dalam hantaran yang jelas dibuat sebagai reaksi kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, lewat petang tadi, Najib berkata, golongan terbabit jugalah yang percaya alasan diberikan itu yang mendorong kerajaan melakukan projek ubah suai dan naik taraf Seri Perdana bernilai RM38.5 juta.

“Jangan gunakan saya sebagai alasan sekiranya ia (menjadi) niat kamu untuk berbelanja RM38.5 juta ke atas kediaman pada ketika rakyat diberitahu bahawa kerajaan tak ada banyak wang untuk membantu mereka,” jelasnya.

Menjelaskan apa yang berlaku, Najib berkata, selepas kalah dalam PRU ke-14, dia sekeluarga hanya diberikan masa beberapa jam saja untuk meninggalkan Seri Perdana.

Pada 18 Nov 2020 katanya JPM meminta pihaknya mengambil barang-barang peribadi seperti yang ada dalam senarai muktamad diberikan Pejabat Perdana Menteri.

“Pada bulan Ogos 2018 (lampiran), saya tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana. Tapi surat saya tidak dibalas. Pada bulan Ogos 2019 (seperti lampiran), saya sekali lagi ulang surat untuk permintaan yang sama.” katanya.

“Diberi tempoh masa dua minggu kepada pihak saya untuk selesaikan pemindahan sebelum 3 Dis 2020. Pada masa itu, staf saya pelik kenapa tiba-tiba kami disuruh untuk ambil balik barang-barang tersebut dengan begitu laju,” katanya.

“Rupa-rupanya seorang pengurus baharu Seri Perdana telah dilantik (yang kami diberitahu merupakan saudara PM8) dan mereka memberitahu kita bahawa PM8 ada rancangan untuk menaik taraf Seri Perdana sebab dia mahu pindah ke sana.Antara cadangan mereka ialah untuk memperluaskan bahagian dapur sebab mereka kata ruang dapur sedia ada terlalu kecil. Itulah cerita sebenarnya.” tulis Najib.

Tambahan pula, kata perdana menteri keenam Malaysia itu, perabot yang dikeluarkan dari Seri Perdana itu masih tersimpan di gudang sebab dia masih berpuas hati dengan apa yang sudah ada di rumahnya.

“Ia tak digunakan langsung. Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan. Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang ke warehouse untuk pilih,” katanya.

Petang tadi Muhyiddin mendakwa beberapa perabot di Seri Perdana dibawa keluar oleh Najib sebelum dia meninggalkan kompleks kediaman rasmi perdana menteri berkenaan.

Berdasarkan laporan yang diterima daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Muhyiddin, antara barangan yang dibawa ialah candelier.

Muhyiddin juga menjelaskan kerja membaik pulih Seri Perdana itu dicadangkan oleh JPM dan Jabatan Kerja Raya. Pun begitu, menurut presiden Bersatu itu dia tidak tinggal di kediaman rasmi tersebut sepanjang tempoh menjadi perdana menteri.

“Jadi, ada perkara yang berbangkit adalah kerana antara perkara itu adalah perabot, candelier dan barangan-barangan yang ada di kediaman itu dikatakan dimiliki oleh perdana menteri keenam,” katanya.