Ramai Pelajar Tajaan MARA Sebenarnya Tak Layak Ke Luar Negara?

Satu ciapan di Twitter hangat membincangkan tentang kelayakan 215 pelajar tajaan MARA yang berlepas ke United Kingdom pada 25 September 2021.

Mereka merupakan 187 orang pelajar daripada Program Young Talent Programme  (164 orang Kolej MARA Banting, 22 orang Kolej MARA Seremban), IPMA Excellent Student Programme 28 orang dan seorang dari Program World Top University yang akan mengambil jurusan kejuruteraan, computer science, economics & finance, biomedical sciences, psychology, biotechnology, forensic sciences, actuarial sciences dan lain-lain.

Berita tersebut mendapat reaksi daripada beberapa pengguna Twitter yang mempersoalkan adakah mereka yang ditaja benar-benar layak mendapat tajaan MARA dan tempat di universiti masing-masing?

Antaranya adalah ‘fairuz.dan.alam’ yang menulis, “215 pelajar terbang ke UK di bawah tajaan MARA. Agaknya dalam ramai-ramai ni berapa yang betul-betul layak? Maaf saya pun under MARA (2014/2015) dan waktu tu saya jumpa berapa ramai anak vip dan anak staf MARA sendiri tapi di bawah tajaan MARA. “Jangan bagitau orang tau.” Kata anak-anak mereka di bumi Australia ketika itu.”

Ciapan tersebut disokong oleh seorang pengguna Facebook yang menulis pula, “Salam sir. Saya tertarik dengan coretan encik berkenaan dengan ini. Saya mengiyakan perkongsian tersebut. Serious tak tipu. Saya merupakan bekas pelajar tajaan badan berkanun tersebut. Masa interview scholarship, 80% adalah anak staff. Kalau tak anak ketua jabatan A, anak pengetua MRSM. Bukan calang-calang orang yang datang.

Saya boleh kira yang betul-betul anak B40% yang hadir ke interview tersebut. Saya anak orang susah. Bapak kerja buruh. Mak kerja cleaner je. Masa tunggu turn interview tu, ada jugak curi-curi terdengar parents yang kebetulan teman/hantar anak mereka interview masa tu dah berkempen cari Encik XYZ or Puan ABC di tingkat sekian-sekian.

Masing-masing menunjuk mereka ada contact dekat menara bangunan tersebut. Ada juga yang bangga kenalkan diri yang dia reject tawaran belajar oversea tahun sebelumnya, dan selepas setahun (sama batch interview dengan saya) dia datang sekali lagi. Dan dia juga merupakan anak pegawai MARA dari Melaka.”

Jika perkara yang didakwa ini benar-benar terjadi, bayangkan 2 pelajar bumiputera Melayu yang sama-sama dapat keputusan cemerlang, tapi berbeza taraf kehidupan iaitu seorang merupakan anak individu berada, berpangkat dan mempunyai pelbagai hubungan luas dengan pelbagai pihak.

Manakala seorang pelajar lagi tinggal di pedalaman, tiada akses internet, datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan tiada hubungan dengan pihak yang mempunyai kuasa dalam perkara berkaitan biasiswa.

Bila dapat keputusan SPM, pelajar yang tinggal di bandar memohon hingga 10 tawaran biasiswa sedangkan yang tinggal di kampung tak tahu pun tentang apa-apa biasiswa sebab tiada maklumat mengenai apa-apa biasiswa.

Maka golongan orang kaya dan berpangkat akan tetap mempertahankan sistem ini dengan mendakwa mereka mengikut peraturan dan bermain di gelanggang secara adil, sedangkan hakikat di sebaliknya disembunyikan.

Sistem ini menyebabkan orang kaya semakin kaya dan orang miskin makin melarat. Anak-anak orang kaya merebut banyak peluang yang ada dan anak orang miskin ramai terpaksa ambil pinjaman untuk mengubah nasib keluarga.

Tamat pelajaran, pelajar-pelajar miskin perlu membayar balik pinjaman mereka dengan gaji rendah berbanding pelajar-pelajar kaya yang tiada tanggungan langsung, boleh mula mengumpul harta dengan bantuan keluarga dan kabel.

Hanya kita sahaja yang mampu untuk mengubah sistem yang sudah rosak ini. Jangan ambil hak orang lain sekiranya anda tidak layak. Dan kepada ibu bapa mulalah menyimpan untuk pendidikan anak-anak anda supaya mereka ada tabungan lain sekiranya tak layak menerima biasiswa.