Timbalan Ketua Pemuda PAS Minta Penjelasan Berhubung Peruntukan Ke Sekolah Persendirian Cina

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dimohon memberi penjelasan berhubung peruntukan RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina.

Timbalan ketua pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari turut mempersoalkan berapakah pula peruntukan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah tahfiz swasta.

Ahli parlimen Pasir Mas itu telah menghantar soalan untuk Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang dijadualkan setiap Selasa dan Khamis sepanjang sidang parlimen.

Tulisnya melalui satu hantaran di Facebook, “Jika soalan naik, kita nantikan jawapan menteri pendidikan. Walau apapun, ia merupakan isu yang wajib memerlukan penjelasan,”

Terdahulu, Kementerian Kewangan dilaporkan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim mendedahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini dan disahkan Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.

Menurut Tan, pada 23 Sept, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa peruntukan RM15 juta akan disediakan untuk 63 sekolah persendirian Cina.

Sebelum ini, menurut kaji selidik Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) didapati sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di Malaysia perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Manakala Presiden Permata Al- Quran, Manolito Mohd Dahlan, memberitahu berdasarkan kajian pihaknya terhadap sebanyak 512 maahad tahfiz di negara ini.

Selain itu jelasnya, kajian turut mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus), boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus).

Katanya lagi, sebanyak 38.1 peratus tidak menerima bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala sebanyak 85.4 peratus maahad menerima yuran separuh atau kurang kerana ibu bapa tidak berkemampuan.