Kisah ‘Rumah Degil’ Di Tengah Chow Kit

Sebuah rumah bernombor 41 dengan senibina Melayu di tengah Chow Kit pernah diberi jolokan nama ‘Rumah Degil’ kerana keengganan pemiliknya menjual rumah pusaka itu bagi memberi laluan kepada pembangunan hartanah di kawasan itu.

Rumah Degil yang didirikan pada 1926 asalnya dibina di kawasan Chow Kit dan pernah didiami selama empat generasi. Ia didirikan oleh Sutan Mengatas atau Jaafar Sutan Sinombar, iaitu anak saudara kepada pengasas Kuala Lumpur, Sutan Puasa. Kemudian ia diwariskan secara turun-temurun kepada generasi berikutnya sehingga didiami generasi kelima iaitu, Norma Manjawali.

Rumah yang berusia hampir 100 tahun itu menyaksikan pelbagai perubahan di negara ini dari zaman British, Jepun, kemerdekaan negara hingga ke 13 Mei 1969, terpaksa dijual pada tahun 2013 kerana keluarga Jaafar tidak lagi mampu menampung kos penjagaan rumah tersebut.

Selepas suami Norma meninggal dunia pada 1972, dia memutuskan untuk pulang semula ke rumah berkenaan dan tinggal bersama ibunya Sariah Jaafar dan ibu saudaranya Batiah Jaafar iaitu cucu kepada Sutan Sinombar.

Pelbagai pihak datang memujuk Norma supaya menjual lot rumah terbabit bagi tujuan pembangunan. Namun ibu saudaranya Batiah yang berkongsi hak pemilikan rumah itu, mengambil keputusan mempertahankan rumah itu kerana dia memegang pesanan arwah bapanya yang melarang mereka menjual rumah itu walau apapun terjadi.

Apabila Batiah meninggal dunia pada 2006, Norma bertegas untuk terus tinggal di situ disebabkan banyak kenangan suka duka sebelum dia secara sukarela berpindah keluar dan tinggal bersama anak perempuannya di Putrajaya pada 2009.

Sepanjang tinggal di Putrajaya, Norma dan anak perempuannya masih mengunjungi rumah tersebut sehinggalah lama-kelamaan dia berubah hati bersetuju menjualnya pada 2013.

Selepas dijual, struktur rumah pusaka itu dibuka, dipindahkan dan didirikan semula di halaman Balai Seni Negara, Jalan Tun Razak oleh sepasukan sukarelawan dari syarikat arkitek tempatan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara.

Proses memulihara rumah kayu dua tingkat, berukuran 4.57 meter lebar dan 15.24 meter panjang itu adalah satu usaha murni bagi membolehkan masyarakat dan generasi seterusnya melihat kehebatan dan keindahan senibina Melayu zaman lampau.

Jika sesiapa ingin merasai suasana rumah kayu pada zaman dahulu kala, bolehlah melawat Rumah Pusaka Chow Kit di Balai Seni Negara, Jalan Tun Razak.