Yuran Sekolah Anak Nora Danish Boleh Beli Kereta!

Heboh di laman sosial apabila Nora Danish diberitakan menangis sewaktu menghantar anak sulungnya Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 12 tahun ke sebuah sekolah berasrama penuh elit swasta.

Melalui hantaran di Instagramnya, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 39, menulis yang Rayqal akan menyambung persekolahannya di Kolej Tuanku Ja’afar (KTJ) yang terletak di Mantin.

“Sedih hari ini, baru sekolah dekat tidak jauh dari rumah. Macam mana hendak hantar anak jauh-jauh pergi London, saya memang tidak boleh,” kata Nora dalam sebuah video yang dikongsi di InstaStory.

Satu video menunjukkan Nora dan Rayqal berada di satu kawasan bilik dengan kakitangan asrama dan menerangkan sesuatu tentang barang yang dibawa. Video lain pula menunjukkan Nora kelihatan sebak dan menangis sambil memeluk erat anaknya ketika berada di asrama.

Rayqal merupakan satu-satunya cahaya mata daripada perkahwinan pertamanya dengan Rizal Ashram atau dikenali sebagai Jejai. Mereka bagaimanapun bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Nora kemudiannya mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Nedim Nazri pada tahun 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Mohamed Neqayl Nedim yang kini berusia tiga tahun

Namun apa yang menarik perhatian adalah yuran persekolahan KTJ yang menawarkan pendidikan bagi murid bermula dari umur 4 tahun sehingga 19 tahun.

Sistem persekolahan yang mengikut model sekolah di United Kingdom itu dibahagi kepada dua iaitu sekolah rendah untuk murid berusia 4 hingga 11 tahun. Manakala bagi sekolah menengah pula, sistem berasrama penuh ditawarkan kepada pelajar dari umur 11 hingga 19 tahun.

Bagi sekolah rendah, pendaftaran adalah sebanyak RM350 dan yuran kemasukan yang berjumlah RM3000. Tak tahulah apa perincian bagi yuran kemasukan sehingga menjangkau angka tersebut.

Manakala berikut adalah jadual yuran bagi pelajar-pelajar sekolah rendah. Tahun 1 & 2- RM30,360 setahun, Tahun 3 & 4- RM34,320 setahun dan Tahun 5 & 6- RM39,690  setahun.

Malah KTJ juga mengenakan yuran ‘after school care’ atau jagaan selepas waktu sekolah di antara  jam 3.45pm-5.00pm berjumlah RM12,000 setahun.

Manakala untuk sekolah menengah pula, bayaran pendaftaran adalah sama iaitu RM350 tetapi yuran kemasukan adalah RM5000. Kemudian ada pula deposit untuk apa tak tahu yang berjumlah RM25,000, wow! Mungkin untuk sebarang kerosakan peralatan di bilik asrama dan kemudahan sekolah berdasarkan video yang menunjukkan keadaan yang agak mewah bagi asrama pelajar.

Bayaran jika tidak menetap di asrama adalah RM59,700 setahun dan jika tinggal di asrama adalah  RM87,000 setahun. Bagi pelajar tingkatan 6 pula, yuran persekolahan mereka adalah RM89,400 setahun.

Itu baru jumlah yuran tahunan bagi seorang pelajar. Sila buat pengiraan sendiri jumlah keseluruhan yuran pendidikan seorang pelajar jika dia dia bersekolah di KTJ lebih daripada setahun. Nilainya boleh beli kereta, rumah dan tanah bagi rakyat marhaen.

Majoriti pelajar-pelajar di KTJ adalah daripada golongan berada, kerabat diraja, anak-anak ahli perniagaan kelas atasan dari pelbagai kaum dan ekspatriat.

Adakah rakyat jelata dengki dengan kekayaan dan kemampuan mereka memberi yang terbaik kepada anak-anak mereka? Oh tidak! Bersyukurlah para marhaen sekalian yang tak perlu mengorek tabung ayam atau menjual buah pinggang untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan.

Begitulah jauhnya beza kehidupan di antara rakyat biasa dengan orang kayangan tak yakin dengan sistem pendidikan negara sendiri.