Rahsia Daim, Zahid, Zafrul, Jho Low Didedahkan Dalam Pandora Papers

Pandora Papers yang mengandungi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia telah mendedahkan rahsia ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah yang didakwa menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam bentuk hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Pendedahan ini dibuat pada Ahad oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara.

Antara nama pemimpin dunia yang didedahkan mempunyai akaun luar pesisir sulit adalah Raja Jordan Raja Abdullah II, bekas perdana menteri United Kingdom Tony Blair, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Russia Vladimir Putin.

Menurut pendedahan tersebut, beberapa individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Daim Zainuddin dan beberapa ahli keluarga antara individu yang didedahkan mempunyai akaun amanah luar pesisir dalam pendedahan terkini International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) yang turut disertai portal Malaysiakini dan beberapa perincian berkenaan pendedahan itu telah diterbitkan.

Nama Jho Low dan kaitannya dengan sebuah firma undang undang Amerika global yang dilaporkan diguna untuk membina jaringan syarikat di Malaysia dan Hong Kong juga turut disenaraikan dalam fail tersebut. Syarikat ini didakwa pihak berkuasa Amerika digunakan untuk menyalurkan wang yang diseleweng daripada 1MDB.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Daim menjelaskan yang bukan semua akaun tersebut adalah miliknya dan urusniaganya berkenaan akaun yang didedahkan adalah sah. Tambahnya, ia adalah sebahagian daripada pengurusan hartanya kerana telah bersara daripada perniagaan.

Pandora Papers mendedahkan transaksi golongan elit dan korup yang menyembunyikan aset bernilai beberapa trilion dolar AS di dalam pelbagai akaun luar pesisir. Mereka dilapor mengambil langkah tersebut, antara lain bertujuan mengelak membayar cukai.

Siasatan yang dilakukan selama setahun ini mendedahkan bagaimana bank dan firma guaman bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan luar persisir untuk mereka struktur korporat yang rumit.

ICIJ dalam penafiannya turut menjelaskan, wujud penggunaan sah untuk akaun luar pesisir dan tidak semua individu yang terlibat adalah korup. Pemilikan akaun luar pesisir atau syarikat didaftarkan di luar pesisir tidak menyalahi undang-undang.

Pemilik akaun atau akaun amanah tidak wajib mengisytihar akaun ini kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana semua dana dipindahkan ke luar negara seharusnya sudah dikenakan cukai.

Namun, ada beberapa insiden di mana pemilikan syarikat luar pesisir dikaitkan dengan pengelakan cukai. Ada juga yang ingin kekalkan kerahsiaan atas sebab-sebab tersendiri.

Sementara itu, laporan Malaysiakini turut mendedahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikaitkan dengan syarikat luar pesisir. Namun syarikat tersebut telah ditamatkan atas pelbagai sebab.

Nama lain yang disebut di dalam laporan Malaysiakini ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.