Klang No.1 Dalam Senarai Bandar Tidak Selamat?

Bandar Klang di Selangor telah disebut Numbeo, sebuah pangkalan data global sebagai bandar nombor satu di Asia Tenggara dengan kadar jenayah paling tinggi dan memiliki tahap keselamatan terendah bagi tahun 2021.

Berdasarkan statistik, Klang menduduki tempat pertama dengan indeks jenayah 68.22 dan tahap keselamatan 31.78. Kuala Lumpur pula berada di kedudukan kedua dengan indeks jenayah 64.88 dan kadar keselamatan 35.12.

Bandar dengan kadar jenayah terendah dan tahap keselamatan tertinggi adalah Chiang Mai, Thailand, dengan indeks jenayah 23.98 dan indeks keselamatan 76.02.

Bagi kadar jenayah dan keselamatan di bandar-bandar di seluruh Asia, Klang menduduki tempat ketiga setelah Kabul, Afghanistan dan Damsyik, Syria.

Di antara 96 bandar yang tersenarai di seluruh Asia, Malaysia disebut enam kali dalam senarai yang diterbitkan oleh laman sesawang Numbeo. Laporan indeks jenayah di Asia Tenggara menunjukkan tiga bandar utama di negara ini seperti Klang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor berada dalam lima teratas sebagai bandar paling tidak selamat di rantau ini.

Syarikat itu yang bersumberkan pendapat orang ramai mengenai harga pengguna, kadar jenayah, kualiti penjagaan kesihatan dan beberapa statistik lain. Numbeo adalah pangkalan data dalam talian kolaboratif yang membolehkan pengguna berkongsi dan membandingkan maklumat mengenai kos sara hidup antara negara dan bandar.

Namun laporan Numbeo dinafikan Polis Di Raja Malaysia. Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, berita bahawa Klang turut memiliki kadar keselamatan paling rendah itu disifatkan mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

Dalam kenyataannya, Arjunaidi mendakwa maklumat artikel yang diterbitkan berkaitan indeks jenayah dan indeks keselamatan itu tidak dapat dipastikan kesahihan serta sumbernya. Kaedah kajian secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden juga tidak menggambarkan atau mewakili keseluruhan masyarakat Klang.

Laporan itu turut menunjukkan dua bandar lain berada dalam lima teratas adalah dua bandar utama di Filipina iaitu Manila dan Quezon City, sementara negara jiran seperti Pattaya dan Bangkok di Thailand berada pada kedudukan 11 dan 15 sementara Singapura pula, di tempat ke – 20.

Arjunaidi menambah, statistik polis menunjukkan jenayah kekerasan di daerah itu melebihi nilai ambang sebanyak 31.76 kes atau enam peratus antara 1 Januari sehingga 30 September lalu.

“Bagi jenayah harta benda, ia berada di bawah nilai ambang iaitu 195.44 kes atau 13 peratus sepanjang tempoh sama. Secara keseluruhannya, daerah Klang berada di bawah nilai ambang iaitu sebanyak 163.68 kes atau lapan peratus,” ujarnya.

Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak gusar atau bimbang dengan laporan laman sesawang berkenaan. Kerana ia tidak menggambarkan statistik dan fakta sebenar kejadian jenayah yang berlaku di Klang.

Numbeo merupakan sebuah laman sesawang berasal dari Serbia yang diasaskan oleh seorang jurutera perisian, Mladen Adamovic yang pernah bekerja dengan syarikat carian enjin gergasi, Google pada tahun 2007 hingga 2009.

Mengenai indeks jenayah di Asia Tenggara, laporan tersebut dibuat berdasarkan satu tinjauan yang dilakukan terhadap pengunjung laman web berkenaan menggunakan kaedah yang sama dengan penyelidikan dilakukan oleh agensi kerajaan.

Malah data yang diperoleh hanya digunakan dalam tempoh 36 bulan, kemudian penyelidikan terhadap tinjauan baharu akan dilakukan untuk mendapatkan laporan terkini.