Saksi Utama Kes Rasuah Terowong Lim Guan Eng Ditemui Mati

Seorang pemaju hartanah ternama ditemui mati setelah jatuh dari Pangsapuri Palazzo di Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Ewe Swee Kheng merupakan saksi utama pendakwaan kes rasuah terowong bawah tanah yang melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Kejadian itu disahkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong hari ini namun tidak mendedahkan sebarang butiran berhubung kejadian.

Ewe adalah pengarah urusan syarikat pemaju bertanah Ewein Bhd yang berpangkalan di Pualu Pinang. Dia pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 sebagai sebahagian daripada siasatan projek terowong bawah tanah di Pulau Pinang.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Ewe jatuh dari tingkat 17 sebuah pangsapuri mewah pada pukul dua pagi dan ditemui dalam kolam renang bangunan berkenaan.

Difahamkan, mayatnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang sejurus ditemui untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia.

Susulan penahanannya sebelum ini, Ewein Bhd memberi kenyataan bahawa pihaknya atau anak syarikatnya tidak pernah terlibat dalam projek tersebut.

Ketika perbicaraan yang masih berjalan ketika ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Lim didakwa di Mahkamah Tinggi kerana menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri ketika itu untuk meminta keuntungan 10% daripada pemaju menerusi projek terowong dasar laut.

Lim juga dituduh meminta wang sogokan sebanyak RM3.3 juta untuk melantik pemaju melaksanakan projek bernilai RM6.3 bilion yang merangkumi tiga jalan utama.

Selain itu, dia juga berdepan dua tuduhan melupuskan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta kepada dua syarikat.

Pembinaan terowong sepanjang 7.2km itu bakal menjadi jalan raya bawah laut pertama dalam negara menghubungkan Butterworth dan George Town. Pembinaannya dijalankan bersama antara kerajaan negeri dan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Dalam pada itu, SPRM turut mengesahkan Ewe adalah saksi utama pendakwaan kes dan pihaknya telah dimaklumkan mengenai kematiannya hari ini.