3 Kisah Genius Yang Terhasil Dari Kerosakan Otak

Kerosakan otak adalah antara perkara yang menakutkan berbanding kerosakan anggota badan yang lain. Ini kerana otak adalah organ terpenting dalam sistem badan manusia yang mengawal keseluruhan pergerakan fizikal, mental, emosi dan rohani manusia.

Kerosakan otak boleh menyebabkan kemerosotan atau ketidakupayaan sesuatu fungsi pada manusia. Namun, ada beberapa kes kerosakan otak di seluruh dunia yang melahirkan bakat hebat seperti tiga kisah berikutnya.

1.Satu malam pada 2002, seorang jurujual perabot bernama Jason Padgett keluar dari sebuah bar untuk pulang ke rumah apabila dia diserang oleh dua peragut. Mereka menyepak Jason hingga jatuh dan menendang kepalanya berulang kali. Semasa kejadian itu, Jason nampak cahaya putih yang begitu menyilaukan dan selepas itu dia pengsan terdampar di tepi jalan dengan berlumuran darah. Akibat kejadian itu, Jason mengalami hentakan yang serius pada kepala dan pandangan yang kabur serta terpecah-pecah.

Walaupun dia masih boleh melihat secara normal, semua objek yang dilihat terpecah kepada garisan dan bentuk. Jason yang tidak habis sekolah menengah tidak menyedari imej yang dilihat adalah simbol geometri kepada formula matematik. Hentakan pada otak menjadikan Jason dapat ‘melihat’ Matematik. Apabila pengkaji menunjukkan imej otak Jason dan memberinya siri persamaan Matematik, pusat pemprosesan visual dalam otaknya menyala. Jason kemudiannya menyambung pelajaran di kolej untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang keadaan otaknya dan teori nombor di sebalik penglihatannya yang belum dapat dijelaskan secara saintifik.

Jason Padgett

2.Seorang imigran Itali, Franco Magnani yang menetap di bandar San Francisco secara tiba-tiba mengalami masalah kesihatan yang sangat pelik. Dia mengalami demam teruk yang membuatkan fikiran bercelaru dan memaksanya hanya terlantar di katil sepanjang masa. Semasa demam, Franco telah didatangi mimpi mengenai rumah zaman kanak-kanaknya di Itali yang telah ditinggalkan hampir 10 tahun.

Setelah sembuh daripada sakit yang teruk, dia melukis keadaan rumahnya pada waktu kecil yang hadir dalam mimpi. Lukisannya adalah sangat terperinci dan serupa dengan apa yang Franco lalui semasa waktu kanak-kanak. Kerosakan otak yang dialami sewaktu demam telah membentuk epilepsi atau sawan yang membuatkan beliau mampu untuk mengingati semua perkara yang berlaku ketika beliau kecil.

Franco Magnani

3.Seorang lelaki dari Colorado, Amerika Syarikat bernama Derek Amato telah tercedera di bahagian kepala semasa terjun ke dalam kolam renang pada 2016. Dalam ketakutan dan kebingungan, dia tersedar selepas dibawa ke hospital. Kejadian malang itu boleh menyebabkan kelumpuhan jika tidak dirawat dengan segera. Pendengaran Derek terjejas teruk akibat kemalangan itu dan daya ingatannya menjadi lemah kerana sakit kepala yang kronik.

Tetapi kemalangan itu telah menghadiahkan Derek bakat luar biasa dalam bidang muzik. Bentuk-bentuk hitam putih yang bergerak mulai muncul apabila dia memejamkan mata. Secara tiba-tiba dia mahir bermain piano yang tidak pernah dipelajari, termasuk memainkan nota-nota muzik yang sangat rumit dan memerlukan masa bertahun-tahun untuk menguasainya.

Derek Amato