‘Saya Nak Selamatkan UMNO’ – Idris Haron Pertahan Tindakan Tarik Sokongan

Datuk Seri Idris Haron memberitahu tindakannya menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka adalah untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut ADUN Sungai Udang itu, beliau tidak boleh lagi menyokong kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN) itu yang dilihatnya penuh dengan kemungkaran maka beliau perlu bertindak.

Idris menyatakan kepentingan rakyat adalah yang paling utama dan terpaksa membuat tindakan drastik tersebut jika usaha kerajaan negeri tidak tepat dan tidak objektif dalam membela nasib rakyat terutama dalam suasana COVID-19.

Beliau juga mendakwa terdapat campur tangan individu tertentu sehingga menyebabkan Exco Kerajaan negeri Melaka tidak dapat menjalankan peranan dan fungsi mereka kepada rakyat.

“Kalau UMNO ini terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan itu tangan kanan dan kiri disuapkan ke mulut sambil mata menjeling lagi ke makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka ini.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak daripada tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, semuanya berlaku dengan jelas.

“Ini semua penipuan yang akan menyebabkan UMNO ditolak mentah-mentah dalam PRU akan datang, saya percaya dan yakin rakyat menyedari hakikat ini,” ujarnya.

“Insya-Allah, kita akan ada satu gagasan yang akan memberikan peluang lebih dalam soal kemajuan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Atas tindakannya itu, Idris dianggap sebagai pengkhianat parti dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan keahlian Idris daripada UMNO terlucut serta-merta.

Kata Idris, nasib beliau ‘tidak sebaik’ beberapa pemimpin UMNO lain yang masih berada dalam parti walaupun jelas menyuarakan dan bertindak menentang kepimpinan tertinggi.

Begitupun, beliau sedia memberikan penjelasan atas tindakannya menolak kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri Melaka.

“Saya tak pasti undang-undang mana yang dikenakan kepada saya, tapi yang saya pasti adalah kalau saya dipanggil oleh badan disiplin saya sedia memberikan penjelasan mengapa saya melakukan demikian.

“Saya berbuat demikian kerana saya nak menyelamatkan parti ini daripada ditolak oleh rakyat dalam PRU akan datang.”

Beliau bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pada 4 Oktober.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).