Punca Perak Tiada ‘Tengku Mahkota’

Negeri Perak antara negeri yang tidak menggunakan gelaran Tengku Mahkota, sebaliknya memakai gelaran Raja Muda untuk bakal pewaris Sultan.

Dikatakan asal usul kisah penggunaan gelaran Raja Muda bermula apabila Sultan Mahmud Shah Sultan Melaka terakhir yang mengundurkan diri ke Kampar, Sumatera.

Setelah Empayar Kesultanan Melaka jatuh ke dalam genggaman Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud telah menitahkan puteranya Raja Muzafar Shah supaya menjadi Raja di negeri Perak, iaitu salah satu negeri di bawah takluk jajahan empayar Melaka.

Pada tahun 1528 pembesar Perak mengadap Sultan Mahmud Shah meminta supaya Raja Muzafar Shah ditabalkan sebagai Raja pemerintah di negeri Perak.

Setelah menerima titah perkenan daripada Sultan Mahmud, maka belayarlah rombongan diraja menyeberangi Selat Melaka.

Rombongan diraja yang diiringi Megat Terawis itu belayar membawa bersama alat kebesaran diraja Melaka seperti nobat, nafiri, pedang Chura Simanjakini, cop mohor halilintar dan beberapa alat lain.

Mereka singgah di Siak, kemudian ke Klang dan seterusnya ke kuala Sungai Perak dengan pelayaran dikemudi Nakhoda Tumi.

Bagaimanapun, bahtera Raja Muzaffar dilanda ribut taufan dan ombak besar ketika melalui kawasan lubuk pusar di Beting Beras Basah.

Bahtera diraja itu tidak dapat bergerak untuk meneruskan perjalanannya walaupun para pengiring cuba menarik dan menolak bahtera itu sehingga mereka terpaksa membuang segala peralatan kecuali alat kebesaran diraja,

Pada waktu itu juga berlakunya angin ribut dan laut pun bergelora di kawasan Kuala Sungai Perak itu. Dalam keadaan cemas dan huru-hara, baginda menyeru jampi yang berbunyi;

Selilit Tanah Minangkabau,

Selengkung Pulau Perca,

Dilengkung ular saktimuna,

Sebenarnya aku keturunan Raja,

Jauhkan segala malapetaka,

Perpisahan aku diselat melaka.

Selepas Raja Muzafar menyeru jampi tersebut, satu suara muncul dari dalam laut dan berkata,

“Sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negari Perak ini, hendaklah Tuanku membuang mahkota Tuanku ke dalam laut terlebih dahulu.”

Setelah mendengar permintaan itu maka Raja Muzafar pun mencampakkan mahkota miliknya ke dalam laut. Perlahan-lahan angin ribut dan laut yang bergelora pun tenang kembali.

Kemudian barulah bahtera baginda dapat bergerak ke tepi tebing dan disambut rakyat negeri Perak yang diketuai Tun Saban yang melaungkan Daulat Tuanku.

Baginda kemudian dibawa mudik ke hulu dan ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama di Tanah Abang,

Raja Muzaffar terpaksa menyelam ke dasar laut selama tujuh hari tujuh malam untuk mengadakan perjanjian dengan makhluk ghaib yang menjaga kawasan berkenaan.

Lokasi Beting Beras Basah di kuala Sungai Perak dan menghala ke selat Melaka itu masyhur dengan pelbagai misteri tersendiri.

Kawasan beting ialah kawasan lubuk pusar yang kadang-kadang timbul dan tenggelam apabila air pasang. Keadaan pasirnya keras dan putih, seluas padang bola seperti beras basah.

Ia tempat pertabalan Sultan Perak sejak Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak pertama pada 1528 hingga sekarang. Setiap Sultan yang bakal menduduki takhta Perak dimestikan menziarahi Beting Beras Basah dan menjejakkan kaki di atas beting

Semenjak dari peristiwa itu negeri Perak tidak lagi memakai gelaran Tengku Mahkota disebabkan mahkotanya telah diambil oleh jin bernama Dato Mahkota Si Raja Jin yang dikatakan menjaga negeri tersebut.

Gelaran tersebut telah ditukar kepada Raja Muda dan gelaran ini berkekalan sehingga sekarang. Pada masa ini individu yang memangku jawatan Raja Muda Perak ialah Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Sejarah kesultanan negeri Perak termasuk juga dengan alat-alat kebesarannya mempunyai banyak kisah yang berkaitan dengan alam mistik.

Sama ada sahih atau tidak, kisah-kisah sejarah lampau ini hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan kebenarannya.