Kes ‘Joe Ferrari’ Bongkar Amalan Rasuah Dalam Polis Thailand

‘Joe Ferrari’ pegawai polis Thailand yang terlibat dengan skandal rasuah didapati merampas kereta-kereta mewah yang dicuri di luar negara, dengan kebanyakannya diseludup dari Singapura dan Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Jeneral Suchart Theerasawat, memaklumkan bahawa 270 daripada 410 kereta mewah yang dirampas oleh bekas ketua balai polis, Kolonel Thitisan Uthanapol, dilaporkan dicuri di luar negara.

Daripada 270, sebanyak 101 dilaporkan dicuri sebelum dirampas dan 169 lagi dilaporkan selepas dirampas. Polis Thailand juga meenemui bukti yang menunjukkan wujud beberapa pegawai lain yang terbabit dalam penipuan itu.

Thitisan dan rakan jenayahnya dipercayai merampas kereta mewah yang diseludup dan menyerahkannya kepada Jabatan Kastam untuk dilelong, dengan habuan lima peratus daripada harga anggaran kereta sebagai upah pencari.

“Oleh itu, kita sedang menyiasat sama ada pembeli kereta mewah ini juga sebahagian daripada mereka. Pendakwaan berhubung kes ini akan dapat dilakukan pada November,” katanya.

Thitisan ditahan pada 26 Ogos lalu kerana didakwa meminta suapan dua juta baht (RM247,000) daripada dua suspek kartel dadah 5 Ogos lalu, sebelum membunuh seorang suspek dengan menyerkup kepalanya dalam beg plastik sehingga lemas.

Dia kemudian mengarahkan doktor untuk mengklasifikasikan sebab kematian kerana mengambil dos dadah jenis amphetamine secara berlebihan dan memberitahu seorang lagi suspek supaya mengunci mulut.

Skandal rasuah itu hanya terbongkar apabila seorang peguam membocorkan satu rakaman yang menunjukkan proses soal siasat secara ganas, yang membongkar kegiatan rasuah seorang anggota polis yang hidup mewah.

Selepas bekas ketua balai polis itu ditahan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah melancarkan siasatan terhadap rekod kewangan, khususnya sejak Thitisan,

Dia yang dikenali di media sosial sebagai ‘Joe Ferrari’ dilaporkan menjalani kehidupan mewah dan koleksi kereta sukan, selepas tiba-tiba menjadi kaya.

Thitisan turut memiliki 42 kereta mewah, termasuk sebuah Lamborghini Aventador berharga AS$1.5 juta (RM6.2 juta) dan harta kekayaan dianggarkan sekitar AS$18 juta (RM75 juta), walaupun hanya memiliki gaji bulanan kira-kira AS$1,300 (RM5,400).

Dalam langkah kebiasaan yang disifatkan sebagai rasuah sistematik, Thitisan kemudian dipindahkan ke biro polis di wilayah berhampiran, yang diketuai oleh bapa kepada kekasihnya, yang juga seorang pembaca berita.

Namun, keadaan tidak memihak kepadanya apabila seorang lagi peguam mendedahkan video yang dibocorkan seorang polis muda, yang menunjukkan Thitisan melemaskan suspek yang digari, sambil beberapa pegawai polis lain memegang mangsa.

Rakaman itu menjadi tular, mengejutkan seluruh negara dan memaksa polis menahan Thitisan dan beberapa anggota lain. Thitisan mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Peguam yang mendedahkan video itu, Sittra Biabungkerd, memberitahu AFP bahawa pendedahan itu dilakukan kerana dia mahu menghentikan amalan ‘polis membantu antara satu sama lain untuk terlepas daripada melakukan pembunuhan’.

“Ramai orang menganggap menyoal siasat suspek menggunakan beg plastik hitam sudah tidak berlaku kerana zaman sudah berubah, namun kes ini membuktikan realitinya ia masih berlaku secara tersembunyi,” katanya.