2 Drama Airmata Politik, Mana Satu Yang Jujur?

Pentas politik tanahair kini diserikan kembali dengan 2 drama airmata selepas tangisan epik Tun Mahathir beberapa tahun yang lalu. Terbaru, tangisan sebak Datin Seri Rosmah Mansor sewaktu membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 billion yang dihadapinya dikatakan membuat seluruh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur senyap sunyi.

Ketika membacakan pernyataan bela diri yang antara lain menyentuh pendakwaan terpilih dan berniat jahat terhadapnya dan keluarga, suara isteri bekas Perdana Menteri itu dilaporkan bergetar menahan hiba.

Ia menyebabkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bertanyakan keadaan itu dan Rosmah sambil mengelap airmata dengan tisu menjawab dalam bahasa Inggeris, “I’m sorry Your Honour. I’ve gone through a lot, (Saya minta maaf Yang Arif, telah banyak perkara sedih yang saya lalui).

Rosmah menegaskan pendakwaan terhadapnya tiada asas sebaliknya yang perlu diheret ke mahkamah adalah lima pihak lain iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid, Tan Sri Madinah Mohamed, Datuk Alias Ahmad, Saidi Abang Samsudin dan Datuk Rizal Mansor, namun mereka dipanggil sebagai saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah sedang mendengar keterangan bela diri Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sebanyak RM1.5 juta disimpan dalam dua beg dan dihantar ke kediamannya di Langgak Duta di sini pada 7 September 2017 manakala RM5 juta lagi diletakkan dalam dua buah bagasi dan dibawa ke Seri Perdana pada 20 Disember 2016.

Menurut Rosmah, walaupun wang tersebut dibawa ke kediamannya, beliau menafikan menerima wang itu mahupun membuka beg dan bagasi untuk memastikan isi kandungannya.

“Pendakwaan memanggil mereka sebagai saksi tanpa didakwa di mahkamah agar mereka menyalahkan saya, seorang individu yang tiada jawatan dalam kerajaan dan tiada kuasa meluluskan apa-apa projek sekali pun,” ujarnya.

Manakala di Melaka pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dilihat menitiskan air mata ketika memohon maaf kepada rakyat atas tindakannya menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pada Isnin lepas.

“Saya minta ampun maaf, rakyat Negeri Melaka. Maafkan kami, saya cakap ikhlas, nangis saya bukan main-main. Saya sayang, saya minta maaf rakyat Negeri Melaka, kami buat ini untuk kamu semua,” kata Nor Azman.

Dakwanya, beliau bersama tiga lagi ADUN termasuk Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap kerajaan negeri hanya untuk menyekat korupsi berlaku dan ia adalah semata-mata demi kepentingan rakyat.

“Saya mohon maaf kepada rakyat Melaka, saya ikhlas, bukan main-main kerana apa yang kami buat ini bukan kerana kepentingan kami,” katanya sambil menitiskan air mata dan merapatkan 10 jari memohon maaf pada sidang media bersama-sama Idris di di resort miliknya di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Nor Azman mendakwa Melaka bukan dikuasai ‘dua singa di atas gunung,’ sebaliknya dikongsi tiga singa hingga merosakkan negeri itu yang yang didakwanya terbabit dalam penyelewengan kerja mengorek pasir laut dan menambak pantai di negeri ini.

Nor Azman juga menyatakan rasa kecewa apabila kerajaan negeri didakwa tidak memberikan sokongan moral apabila dia dirawat di hospital akibat Covid-19 baru-baru ini.

Gambar sekadar hiasan