3 Tip Pengurusan Kewangan Orang Kaya Yang Boleh Anda Tiru!

Adakah anda selalu mengalami masalah kewangan walaupun mempunyai pendapatan yang lumayan? Belum sempat hujung bulan, akaun bank sudah menjunam ke satu angka. Apa kata anda baca 3 tip pengurusan kewangan orang kaya yang boleh diamalkan bagi memperbaiki situasi kewangan anda tanpa mengira tahap pendapatan anda.

Thomas C. Corley, seorang akauntan, perunding kewangan dan penceramah motivasi berkongsi panduan bagaimana orang-orang kaya menguruskan wang mereka dengan bijak. Kekayaan yang tidak diuruskan dengan teratur dan berdisiplin akan hilang juga seperti bukit yang ditarah sedikit demi sedikit.

1.Matlamat Jelas Tujuan Menyimpan Wang
Orang kaya mempunyai kebiasaan menyimpan wang dalam pelbagai jenis akaun dan di bank yang berlainan. Biasanya mereka akan mengasingkan bahagian untuk simpanan dalam satu jumlah yang besar. Kemudian, jumlah yang besar itu akan dibahagikan ke dalam setiap akaun yang ada mengikut keperluan simpanan masing-masing. Jika anda dapat mengasingkan 10% daripada pendapatan pada setiap bulan, pecahkan peratusan itu kepada peratusan lebih kecil mengikut keperluan. Contohnya, simpan 5% tabung persaraan, 2% untuk pelbagai belanja bulanan, 2% untuk simpanan kecemasan, dan lebihan 1% untuk modal pusingan perniagaan.

2.Menyimpan Secara Automatik Dan Sistematik
Mereka mempunyai disiplin yang tinggi dalam melaksanakan matlamat yang diidamkan. Anda juga boleh melakukannya dengan membuat tetapan potongan secara automatik dan sistematik ke dalam setiap akaun pada setiap bulan. Ia boleh dibuat secara atas talian dengan mudah dan pantas. Potongan secara atas talian menjimatkan masa dan tenaga anda tanpa perlu pergi ke bank untuk membuat pengeluaran dan penyimpanan. Kaedah ini akan memaksa kita untuk berbelanja dengan cermat, kerana kita menyimpan wang terlebih dahulu dan hanya membelanjakan lebihan wang yang tinggal.

3.Tabiat Merekod Dan Mengaudit Perbelanjaan
Simpan semua resit pembelian barangan pada setiap hari, kemudian catit secara terperinci harga barang yang dibeli dalam satu fail kertas atau applikasi Excel. Dengan cara ini anda boleh mengesan ke mana aliran wang anda pada setiap bulan, sama ada tunai, kad kredit atau potongan debit dari akaun. Dari rekod kewangan, anda boleh melihat, menjejak, menilai dan menyusun semula perbelanjaan yang penting atau tidak untuk anda teruskan dalam kehidupan anda. Contohnya jika anda peminat kopi dan menghabiskan banyak wang membeli kopi hipster dari premis, mungkin anda boleh berjimat dengan membeli mesin kopi dan membancuh sendiri. Pastikan resit yang anda ambil dan simpan tidak hanya memenuhi beg atau laci, tetapi dimanfaatkan untuk faedah kewangan anda.

Mudah bukan tip-tip yang diberikan? Walaupun jika anda tidak mempunyai pendapatan yang tinggi, anda boleh meniru tabiat ini secara berterusan. Seperti pepatah yang menyebut, sikit-sikit lama jadi bukit, anda akan lihat hasilnya yang akan mengubah kewangan anda ke arah lebih baik dalam beberapa bulan sahaja.