Polis Johor Kesan Sindiket Penipuan Guna Nama TMJ

Satu sindiket penipuan pemalsuan dokumen bagi pertukaran mata wang asing (Forex) yang menyalahgunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah dikesan.

Penipuan itu melibatkan dokumen aku janji yang diuruskan seorang wanita tempatan dengan memakai gelaran “Datuk Seri” palsu.

Polis Johor menerima satu laporan polis semalam berkaitan satu penipuan pertukaran mata wang dolar Amerika kepada ringgit Malaysia yang dipercayai palsu.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dokumen tersebut didapati dikeluarkan dan ditandatangani seorang wanita warga tempatan yang bergelar ‘Datuk Seri’.

Wanita tersebut mendakwa Tunku Ismail memberi mandat kepadanya untuk menjalankan urusan tukaran mata wang asing dolar Amerika kepada ringgit yang bernilai antara AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion yang menggunakan akaun bank milik seorang lelaki tempatan.

Hasil semakan melalui laman www.istiadat.gov.my mendapati penama yang kononnya bergelar ‘Datuk Seri’ itu tidak berdaftar sebagai individu yang mempunyai gelaran tersebut.

Individu berkenaan juga merupakan suspek dalam kes penipuan draf Bank of Tokyo pada tahun 2011.

Ayob Khan memberitahu semakan latar belakang terhadap lelaki tempatan itu yang terbabit sebagai proksi mendapati dia adalah seorang peguam.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum sepuruh tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda.

“Polis Johor menasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak Istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi mengelakkan penipuan sebegini,” jelas beliau.