Kapal Selam AS Terlanggar Objek Di Laut China Selatan

Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan satu kenyataan berhubung kejadian sebuah kapal selam nuklear miliknya yang melanggar suatu objek tidak dikenali di Laut China Selatan pada 2 Oktober lalu.

Kapal selam serangan pantas berkuasa nuklear, USS Connecticut melanggar objek ketika melakukan operasi rutin di perairan antarabangsa menuju ke pangkalan AS di Guam.

Tentera Laut AS mengesahkan tiada kecederaan serius berlaku akibat insiden tersebut selain kapal selam tersebut masih berfungsi.

Menurut kenyataan itu, USS Connecticut (SSN 22), sebuah kapal selam serangan pantas berkelas Seawolf, dikatakan terlanggar sesuatu objek ketika di bawah air ketika beroperasi di perairan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik pada tengah hari 2 Oktober lalu.

Namun pihak USS Connecticut menyatakan objek yang bertembung dengan mereka bukan kapal selam yang lain. Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak memperincikan lokasi insiden tersebut berlaku, serta tidak memberitahu objek apa yang dilanggar.

Mereka menegaskan keselamatan anak kapal tetap menjadi keutamaan tentera. Tiada kecederaan berlaku sehingga mengancam nyawa dengan dua kelasi mengalami kecederaan sederhana manakala sembilan yang lain mengalami kecederaan ringan.

Tambah kenyataan itu, kapal selam berkenaan masih dalam keadaan “selamat dan stabil”. Selain itu, loji pemacu nuklear USS Connecticut juga tidak terkesan dan masih berfungsi.

Tahap kerosakan kapal itu sedang diteliti manakala siasatan penuh ke atas insiden tersebut akan dijalankan.

Memetik laporan Associated Press, dua pegawai Tentera Laut AS memberitahu bahawa insiden tersebut berlaku di Laut China Selatan ketika operasi rutin USS Connecticut sedang berlangsung.

Seorang pakar keselamatan dan pertahanan yang berpangkalan di Singapura memberitahu BBC, kecederaan yang dialami anak-anak kapal menunjukkan kemungkinan kapal selam itu bertembung dengan sesuatu yang besar dan sedang bergerak dengan pantas.

Kejadian pelanggaran itu ‘bukan satu perkara biasa tetapi tidak aneh’ dan ia mendedahkan betapa sibuknya kawasan tersebut dengan aktiviti ketenteraan antarabangsa.

Menurutnya, Laut China Selatan menjadi semakin sesak dan padat dengan kehadiran aset-aset ketenteraan dari beberapa buah negara.

Laporan dari akhbar China, Global Times pula menyebut, kerajaan China memandang serius kejadian tersebut dan meminta AS memberi maklumat lanjut tentang perkara itu, termasuk tujuan keberadaan kapal selam USS Connecticut di kawasan itu.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, tetapi tuntutan itu tidak dipersetujui oleh kesemua negara Asia Tenggara yang berada di perairan laut itu dan juga AS yang menyokong penolakan tuntutan tersebut.