Kenali ‘Pulau Seri Buat’, Rompin Pahang Yang Digelar ‘Krabi Malaysia’

Rupa-rupanya selain Pulau Tioman, Pahang mempunyai sebuah lagi pulau yang cantik dan boleh dikunjungi untuk bercuti dan diterokai.

Terletak di dalam daerah Rompin, pulau yang bernama Seri Buat ini merupakan antara pulau yang termasuk dalam gugusan pulau-pulau kecil lain seperti Pulau Sembilang, Pulau Layak dan Pulau Acheh dan Pulau Raja.

Kedudukan Pulau Seri Buat adalah di sebelah Pulau Sembilang dan diapit Pulau Raja yang kecil saja saiznya.

Pulau Seri Buat mendapat jolokan ‘Krabi Malaysia’ kerana keindahan yang sama dengan air laut jernih dan pemandangan mempesonakan seperti pulau pelancongan popular Thailand itu.

Mesti ramai yang nak tahu apa aktiviti yang boleh dilakukan di sana, kan? Snorkeling adalah aktiviti yang wajib anda buat untuk melihat kepelbagaian haiwan lautan, selain memancing dan mencandat sotong.

Bagi yang sukakan cabaran, bolehlah mendaki puncak bukit di sini untuk melihat pemandangan keseluruhan sekeliling pulau termasuk Pulau Tioman yang dapat dinikmati dengan jelas. Kemudian tali telah disediakan bagi membantu pendakian yang bukit sedikit curam.

Pengunjung juga boleh berkhemah di pinggir pantai atau di kawasan pulau sambil ditemani unggas rimba dan merasai suasana malam yang mendamaikan.

Ada beberapa tempat penginapan bagi pengunjung yang ingin bermalam lebih sana di sana, antaranya Resang Indah Chalet.

Anda boleh menaiki bot dari Jeti Tanjung Gemok yang mengambil masa lebih kurang 30 ke 45 minit untuk sampai ke Pulau Seri Buat.

Ia terletak tidak jauh dari Pulau Tioman iaitu di tengah-ditengah antara tanah besar Semenanjung dengan Pulau Tioman.

Pulau Seri Buat hanya dibuka dan menerima pelawat dari bulan Mac sehingga November setiap tahun dan ia ditutup sepanjang musim monsun.

Gambar : FB Pulau Seri Buat