Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan Perkenal Sejadah ‘Pakai Buang’

Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, Pahang telah mengambil langkah proaktif dalam membantu menjaga SOP di kalangan jemaah yang hadir ke masjid untuk melaksanakan solat.

Pihak pengurusan masjid ada menyediakan sejadah yang diberi nama ‘Santunan Musafir’ khusus untuk para musafir yang singgah menunaikan solat di masjid berkenaan.

Sejadah ‘sekali guna’ (single-use) atau pakai-buang diperbuat dari material Nonwoven Polypropylene (NWPP) yang mesra alam.

Sejadah tersebut disediakan oleh para penyumbang dan dermawan bagi memberi keselesaan kepada pengembara yang hadir ke sana.

Berdasarkan balasan komen di antara pentadbir laman FB Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dengan pembaca, harga bagi satu gulung sejadah adalah kurang daripada RM500.

Langkah menyediakan sejadah pakai-buang itu disambut baik oleh pembaca dan ada yang menulis komen meminta nombor akaun masjid untuk membuat sumbangan pembelian sejadah tersebut.

Pihak masjid turut mengingatkan supaya sejadah pakai-buang itu digunakan dengan cermat dan berhemah untuk mengelakkan pembaziran, kerana ia menggunakan dana sumbangan orang awam dan terhad.

Ada juga komen pengikut yang mengadu tidak dibenarkan memasuki masjid untuk menunaikan solat kerana tidak membawa sejadah.

Pentadbir masjid membalas yang pihak masjid ada menyediakan sejadah baharu di kaunter keselamatan. Walaupun baru, ia tidak dijual dan para musafir atau jemaah boleh menyumbang sedekah seikhlas hati.

Semoga para musafir dan jemaah dapat juga mengambil peluang tersebut untuk membuat amal jariah. Sejadah baru dapat, pahala pun insya allah dapat.

Pahang merupakan antara negeri-negeri yang tidak mengenakan syarat vaksin bagi sesiapa yang ingin hadir ke masjid bagi tujuan solat fardu dan solat Jumaat. Negeri-negeri lain yang tidak mengenakan syarat sama adalah Terengganu, Perak dan Sabah.

Pembukaan dan prosedur operasi standard (SOP) masjid tertakluk kepada kuasa Pihak Berkuasa Agama Negeri selepas mendapat perkenan Raja setiap negeri.

“Dengan Allah Kita Mesti Menang!”

Gambar : FB Masjid Negeri Sultan Ahmad 1