Lelaki Terima Gaji Sedikit Jika Membujang

Satu kajian yang dibuat di Amerika Syarikat (AS) mendapati pekerja yang membujang atau tidak memiliki kekasih menerima gaji yang kurang berbanding mereka yang sudah berkahwin atau mempunyai pasangan.

Pusat Kajian Pew yang menerbitkan kajian itu menyatakan bahawa individu dewasa akan jauh ketinggalan dari segi pendapatan jika mereka berstatus bujang berbanding dengan mereka yang mempunyai teman wanita, tunang atau isteri.

Berdasarkan analisa data bancian, penyelidik kajian mendapati pada tahun 2019, sebanyak 38 peratus penduduk negara itu yang berusia antara 25 hingga 54 tahun masih solo.

Peratusan tersebut meningkat dengan drastik berbanding tahun 1990 di mana hanya 29 peratus penduduk AS yang tidak mempunyai pasangan kekasih.

Richard Fry dan Kim Parker, penyelidik kajian tersebut mendapati terdapat hubung kait di antara status hubungan dengan pendapatan di kalangan pekerja lelaki.

Pada 2019, purata pendapatan tahunan bagi seorang lelaki solo ialah AS$35,600 (RM148,840), sementara purata pendapatan lelaki yang sudah berkahwin, bertunang atau mempunyai teman wanita adalah sebanyak AS$57,000 (RM238,320).

Bagi pekerja perempuan yang masih bujang pula, purata pendapatan tahunan mereka ialah AS$32,000 (RM133,790) manakala pendapatan bagi pekerja wanita yang sudah berkahwin atau berpacaran ialah AS$40,000 (RM167,240).

Menurut seorang peserta kajian, dia berpendapat bahawa seseorang tidak akan dipandang serius di tempat kerja sekiranya mereka tidak mempunyai kekasih.

“Rakan-rakan saya yang masih bujang berkongsi pendapat sama iaitu mereka dinilai secara berbeza berbanding pekerja yang sudah berkeluarga. Mereka juga diminta untuk menumpukan lebih banyak masa terhadap pekerjaan tanpa mendapat imbuhan yang setimpal.”

Seorang ahli sosiologi, Bradfox Wilcox beranggapan bahawa lelaki yang sudah berkahwin akan bekerja lebih keras dan dikatakan kecenderungan mereka untuk berhenti kerja menurun walaupun tidak mendapat pekerjaan baharu.

Beberapa pengguna laman sosial Twitter yang tidak mempunyai pasangan menganggap keadaan tersebut sebagai sesuatu yang menyedihkan.

“Diskriminasi ini membuatkan saya tertekan. Sudahlah mereka yang bujang kesepian, mengapa mereka harus menerima gaji yang lebih rendah disebabkan status hubungan mereka?” soal seorang pengguna Twitter.