Anwar – “Saya Terima Takdir Jika Tak Dapat Jadi PM”

“Saya terima takdir jika tak dapat jadi PM”, itu jawapan diberikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim apabila ditanya sama ada dia akan menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti atau kekal sebagai ketua pembangkang.

Jawapan itu diberikan ketika ditanya dalam temuramah dengan Radio ABC Australia, adakah dia masih menaruh harapan untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Laluannya untuk menjadi Perdana Menteri mungkin sukar selepas dia membangkitkan isu berhubung “Kertas Pandora” di Parlimen yang melibatkan beberapa pemimpin dahulu dan kini.

Tindakannya itu tidak menyenangkan ramai golongan berkuasa, termasuk elit politik dan konglomerat yang akan menentangnya.

“Saya tidak risau tentang perkara itu (menjadi perdana menteri atau tidak suatu hari nanti). Saya hanya menjalankan tugas saya, que será será (apa yang hendak terjadi akan terjadi). Sekiranya saya terus menjadi ketua pembangkang, saya terima. Sekiranya saya menjadi perdana menteri, saya akan mengucapkan syukur kepada Tuhan,” kata Anwar.

Anwar menyatakan bahawa isu Kertas Pandora yang mendedahkan transaksi wang keluar yang tidak sah dan akaun bank rahsia bukanlah perkara baru.

Dia mengatakan bahawa pada tahun 2011, dia telah memberitahu kerajaan melalui Parlimen untuk menyiasat laporan Global Financial Integrity yang mendakwa terdapat aliran keluar haram sebanyak RM208 bilion ringgit.

Anwar juga mendakwa telah mengemukakan cadangan itu kepada Ismail Sabri sewaktu mereka berjumpa sebelum sesi persidangan bermula.

Ismail bertanya apa lagi yang dapat dilakukan tentang skandal Kertas Pandora itu dan Anwar mendakwa kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan penuh.

“Orang boleh mempunyai akaun di luar negara, tetapi jika anda adalah pegawai awam dengan ratusan juta disimpan di luar pesisir, anda mesti dipertanggungjawabkan,” kata Anwar.

Dia mengatakan adalah “tidak masuk akal” apabila pegawai awam dapat memiliki begitu banyak kekayaan di luar negeri pada saat terdapat tahap kemiskinan yang tinggi di negara ini.

Menurut Anwar, aktiviti rasuah di Malaysia semakin lama semakin membarah dengan memetik skandal kes SPRM baru-baru ini yang membabitkan kecurian barang kes bernilai jutaan ringgit dengan penangkapan tiga pegawai badan antirasuah itu.

“Tiada sesiapapun akan percaya mengenai pendirian antirasuah sehingga anda bersedia mengambil langkah tegas untuk mengukuhkan SPRM.”