Misteri House of Secrets – Kematian Serentak 11 Orang Ahli Keluarga

Pada 2018, India telah digemparkan dengan kematian serentak 11 orang dari sebuah keluarga yang sama. Seorang daripada mereka mati akibat dicekik manakala sepuluh orang daripada keluarga tersebut telah mati dipercayai membunuh diri dengan cara menggantung diri.

11 orang mangsa terdiri daripada 3 generasi keluarga Chundawat dengan ketua keluarga mereka adalah Narayan Devi, nenek yang berusia 77 tahun. Mereka sekeluarga sudah tinggal di Burari, Delhi selama 20 tahun dan keluarga mereka mempunyai perniagaan kedai runcit dan papan kayu.

Kedai runcit keluarga Chundawat biasanya akan dibuka tepat pada pukul 6 pagi pada setiap hari namun apabila ia masih tertutup pada 1 Julai 2018, ia menimbulkan tanda tanya kepada jiran yang prihatin. Hairan dengan keadaan yang ganjil itu, Gurcharan Singh salah seorang seorang jiran di kawasan berkenaan bertindak untuk memeriksa keadaan di rumah keluarga Chundawat.

Gurcharan menjumpai 10 mayat anggota keluarga Chundawat dalam keadaan tergantung pada siling rumah dengan keadaan mereka telah diikat ke belakang manakala mata dan mulut pula ditutup dengan kain. Hanya Narayan seorang saja yang ditemui mati di dalam bilik berasingan dengan punca kematiannya adalah kerana dicekik.

Polis yang tiba di lokasi kejadian sejurus selepas itu tidak menemui sebarang tanda pergelutan dan tiada barangan berharga yang hilang.

Pada awalnya pihak polis mmembuat kesimpulan bahawa kematian semua mangsa merupakan kes pembunuhan yang dibuat seolah-olah bunuh diri. Namun setelah laporan forensik keluar ditambah dengan keterangan daripada jiran setempat, pihak polis percaya bahawa kematian keluarga Chundawat ini sebenarnya kes bunuh diri secara beramai-ramai.

Kesimpulan itu dibuat selepas polis mendapat maklumat tentang tingkah laku salah seorang mangsa yang dikatakan bertukar menjadi pelik sejak bapanya meninggal dunia. Lalit Bhatia, 45 tahun menulis catatan aneh dalam 11 buah diari yang membongkar banyak rahsia gelap keluarga Chundawat.

Selepas bapa Lalit iaitu Bhopal Singh meninggal dunia pada tahun 2007, dia bertukar daripada seorang yang peramah kepada pendiam. Lalit juga membuat banyak perkara ganjil seperti memberikan makanan kepada binatang liar dan bersembahyang di depan pokok.

Ada masanya Lalit tiba-tiba berkelakuan seperti mendiang ayahnya. Lalit juga memberitahu keluarganya bahawa dia dimasuki roh Bhopal dan memberitahu mereka semua akan dapat bersama kembali dengan melakukan satu upacara.

Upacara tersebut adalah untuk menyambut kedatangan roh Bhopal dengan cara menggantung diri beramai-ramai. Lalit menulis bahawa roh Bhopal akan menghidupkan mereka semula selepas upacara itu selesai. Ahli keluarga yang lain mempercayai bulat-bulat dakwaan Lalit dan membuat persediaan membunuh diri mengikut arahan Lalit.

Melalui diari Lalit dan pemeriksaan kamera litar tertutup, beberapa orang anggota keluarga Chundawat dilihat telah pergi membeli wayar kabel. Kemudiannya membawa masuk bangku ke dalam ke rumah untuk dijadikan sebagai peralatan ritual.

Namun, orang ramai dan saudara-mara keluarga Chundawat tidak percaya mereka mati kerana membunuh diri kerana keluarga Chundawat berpendidikan dan patuh dengan ajaran agama. Mereka juga tidak mempunyai sebarang masalah atau musuh jadi tidak ada sebab munasabah untuk keluarga Chundawat membunuh diri.

Penjelasan yang paling sesuai untuk memahami kes ini adalah melalui kenyataan seorang doktor yang pernah merawat Lalit. Selain kesedihan akibat kematian bapanya, Lalit dikatakan berkelakuan aneh kerana mengalami trauma teruk sebanyak dua kali. Kali pertama adalah selepas kemalangan jalan raya dan yang kedua selepas tempat kerjanya dibakar kerana dia menuntut gaji dari majikannya.

Semua peristiwa yang dilalui Lalit menyebabkan dia mendapat trauma yang teruk sehingga dia berimaginasi tentang bapanya. Namun, bagaimana 10 orang yang lain boleh patuh kepada arahan Lalit sehingga mengorbankan diri mereka masih menjadi misteri.