3 Cerita Kejayaan Individu Yang Pernah Gagal

Adakah anda rasa tertekan dan marah dengan kehidupan anda? Apa sahaja yang anda buat terutamanya dalam perniagaan dan impian sering menemui kegagalan. Jangan biarkan perasaan itu terus menyelubungi anda. Mari baca 3 cerita kejayaan individu yang pernah melalui pelbagai kesukaran dan kegagalan sebelum berjaya dalam kerjaya dan perniagaan mereka.

1. Mc Hammer
Mc Hammer adalah seorang penyanyi, penari dan penerbit muzik kulit hitam yang popular pada sekitar era 1980an hingga 1990an. Seluar Aladdin yang besar dan labuh adalah trademark yang diingati ramai peminat muzik. Dia pernah memenangi anugerah muzik Grammy Award sebanyak dua kali dan dikenali dengan lagu-lagu seperti “U Can’t Touch This” dan “2 Legit 2 Quit”. Kemewahan dan kemasyhuran yang dikecapinya tidak diuruskan dengan sebaiknya menyebabkan dia diisytiharkan muflis pada 1996 kerana tidak mampu membayar hutang sebanyak AS$13 juta (RM53.8 juta).

Ekoran kebankrapannya, kemasyhuran Mc Hammer mula pudar. Namun, dia tidak patah semangat, sebaliknya meneruskan kerjaya muziknya dengan menubuhkan syarikat sendiri, di samping melabur dalam syarikat start-up teknologi. Kini beliau mempunyai beberapa perniagaan dan menerima jemputan memberi ceramah motivasi di universiti-universiti di Amerika Syarikat.

2. Christopher Gardner
Chris menjadi gelandangan dia dan keluarga dihalau dari rumah kerana gagal membayar sewa bulanan. Rumahtangganya turut musnah apabila isterinya membuat keputusan meninggalkan dia dan anak lelaki mereka kerana tidak tahan hidup sebagai gelandangan. Demi mengubah hidupnya, Chris mencuba nasib menjadi broker saham dan terpaksa membawa anaknya ke tempat dia bekerja.

Selepas setahun, Chris diberikan jawatan sepenuh masa kerana mempunyai bakat hebat untuk menjadi seorang broker saham yang berjaya. Gaji yang diperoleh dari kerjaya barunya itu membolehkan Chris menyewa rumah yang selesa untuk dia dan anaknya. Chris mengembangkan kerjayanya dengan membuka firma saham sendiri dan memberi ceramah motivasi ke seluruh dunia. Kisah hidupnya dijadikan filem yang bertajuk Pursuit of Happyness.

3. Ramli Mokni
Berbekalkan modal RM2,000 pada tahun 1978, Ramly Mokni memulakan perniagaan membuat sendiri daging burger secara manual tanpa mesin di rumah mereka di Kampung Baru. Dia dan isterinya mengambil peluang daripada kekecohan status halal daging yang berlaku pada masa itu. Walaupun kurang mendapat sambutan pada awalnya, Ramly meneruskan perniagaan dan membuka gerai menjual burger. Cabaran terbesar yang dihadap sewaktu awal membangunkan bisnes adalah apabila permohonan pinjaman mereka ditolak Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan alasan rakyat burger bukan makanan kegemaran rakyat Malaysia.

Namun nasib Ramly berubah apabil pihak Bank Pembangunan meluluskan permohonan mereka. Kini, nama Ramly Burger tidak asing lagi di kalangan rakyat Malaysia dengan jualan tahunan mencecah RM1 billion. Sebanyak 1.5 tan daging digunakan bagi menghasilkan pelbagai jenis produk jenama Ramly. Jenama Ramly bukan lagi sekadar mengeluarkan daging burger, malah sosej, nuget, bebola daging, daging kisar, sos cili dan banyak lagi turut dihasilkannya.